Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia) secara rasminya melancarkan portal jualan dalam talian iaitu “Click for Cover” sebagai inisiatif permulaan ke arah insurans digital.
PELANCARAN portal ini menandakan perluasan jejak digital Takaful Malaysia dengan menyediakan pengalaman pelanggan yang lancar apabila mereka menyertai produk insurans dalam talian.
Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, dan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dengan Fusionex International, peneraju pasaran dalam teknologi data, analitik dan Artificial Intellegence dan ReMark International, sebuah syarikat pakar pemasaran digital. Kolaborasi kerjasama bersama Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam (BIMB) juga ditandatangani untuk memperkenalkan produk Takaful dalam talian kepada pendeposit LTH dan pelanggan BIMB.
“Pelancaran pelan strategi digital ini menandakan komitmen kami ke arah merevolusikan cara kami untuk memperluaskan perniagaan dengan mentransformasikan jualan dan operasi secara digital. Dengan memanfaatkan perkakasan digital dan teknologi dalam menawarkan kepelbagaian produk dan perkhidmatan, kami akan menggembirakan pelanggan kami dengan pengalaman pengguna yang lebih baik, produk perlindungan yang dipertingkatkan serta perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Pelanggan kami akan mendapat manfaat daripada pengalaman intergrasi berbilang saluran dan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk terus mendahului persaingan dan cabaran di dalam pasaran” kata Dato’ Seri Mohamed Hassan Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, “Pelancaran strategi digital Takaful Malaysia pada hari ini adalah sejajar dengan strategi digital keseluruhan yang digariskan oleh Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital.”
Portal “Click for Cover” direka dengan paparan mesra pelanggan untuk pelanggan mengakses produk syarikat dalam talian dengan kemudahan e-pembayaran serta keupayaan pengunderaitan masa nyata. “Click for Cover” mempunyai enjin pengunderaitan perubatan integrasi pertama dalam talian di Malaysia di mana keputusan rating dihasilkan secara dalam talian berdasarkan beberapa soal selidik pengunderaitan.
Ketika ini, portal menawarkan produk Motor, Kemalangan Peribadi (PA) serta Perubatan. Lebih banyak lagi produk seperti Takaful Term Life, Penyakit Kritikal dan Travel PA akan disediakan pada tahun ini.
Dato’ Seri Hassan Kamil menjelaskan, “Kerjasama strategik bersama Fusionex International dan ReMark International adalah sejajar dengan matlamat perniagaan kami untuk menjadikan pelan strategi digital sebagai pemacu utama kepada usaha inovasi kami.
Usaha ini akan meningkatkan daya saing dan menjana pertumbuhan di masa hadapan. Permulaan perjalanan digital kami melibatkan penyelarasan prosedur dan kecekapan operasi, serta memanfaatkan platform media sosial untuk mengukuhkan keberkesanan pemasaran dan penjenamaan.
Kami juga turut menggunakan pelan strategi digital iaitu inisiatif pemasaran muka ke muka dengan memanfaatkan Pusat Khidmat Kewangan Islam (IFiC) Lembaga Tabung Haji di mana terdapat kaunter Takaful dan rangkaian cawangan Bank Islam untuk mempromosikan portal baharu kami. Diperingkat permulaan ini kami ingin memperkenalkan pengalaman dalam talian ini secara komunikasi terus untuk memberi pelanggan yang berpotensi penerangan yang terperinci serta memperkenalkan portal tersebut dengan melayarinya bersama mereka.”
Sementara itu, Dato’ Seri Ivan Teh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex International berkata, “Dalam era berasaskan data ini, pemerkasaan teknologi data bukan lagi suatu kemewahan, tapi merupakan suatu keperluan sekiranya ingin kekal relevan dan berdaya saing.
Matlamat utama transformasi digital adalah pengalaman pengguna yang hebat, maka amat penting untuk kami bekerjasama dengan pelanggan kami untuk fokus kepada pengguna dan perjalanan pengguna serta memanfaatkan kuasa teknologi. Kami percaya bahawa melalui cara ini serta pendekatan berorientasikan pengguna akan dapat memajukan dan menginjak perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.”
Dato’ Seri Ivan Teh berkata, “Jelas sekali, inovasi perlu menjadi teras perniagaan, kerana ia membezakan pemimpin dengan pengikut. Hari ini, kami amat berbesar hati menyaksikan Takaful Malaysia membuat kemajuan besar ke arah ini. Fusionex International berasa sangat gembira kerana menjadi rakan kongsi utama di dalam perjalanan transformasi digital yang menarik di Takaful Malaysia, dan kami yakin kejayaan awal ini akan membawa kepada banyak lagi kejayaan dengan Takaful Malaysia di masa akan datang. ”
Selain daripada ini, Takaful Malaysia sedang melaksanakan pelbagai inisiatif digital, termasuk integrasi sistem dengan rakan niaga utama, lebih banyak lagi pilihan layan diri dalam talian, dan aplikasi mudah alih, sebagai sebahagian daripada pelan strategi digital holistik untuk menarik segmen pelanggan baharu, meningkatkan margin serta pasaran saham kami.