Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini membuka Pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) di daerah Sungai Buloh, Selangor.

PUSAT 3S yang dikendalikan oleh Esperance Motors ini terletak di Lot 26, Jalan LGSB 1/2, Pusat Komersial LGSB, Off Jalan Hospital, Sungai Buloh.

“Esperance Motors baru saja menjadi rakan kongsi perniagaan Mitsubishi Motors dan ini merupakan pusat 3S pertama kelolaan mereka. Kami yakin syarikat ini mampu mengembangkan lagi perkongsian pasaran untuk jenama Mitsubishi di Lembah Klang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

Pengedar Prinsipal Esperance Motors, Alex Sim berkata, pihaknya merancang untuk membuka bilik pameran Mitsubishi yang kedua pada suka kedua tahun ini dan bakal menjadi cawangan utama yang terletak di Rawang.

“Pusat 3S tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun ini dan menjadi fasiliti terbesar dengan enam petak penyelenggaraan. Malah kami juga akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan seperti baikpulih kenderaan yang kemalangan dan juga tuntutan insurans.”

Buat masa ini, MMM telah mempunyai 55 bilik pameran, dengan 48 daripadanya ada Pusat 3S dan 54 cawangan servis di seluruh negara. Manakala untuk Malaysia Timur sahaja, MMM memiliki 14 bilik pameran iaitu enam di Sarawak dan lapan di Sabah.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini