Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot Airline (Scoot) melebarkan sayap ke Kuantan apabila membuat penerbangan sulung ke Pahang.
Penerbangan pesawat Airbus 320 milik Scoot Airline yang membawa 120 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada jam 1.20 petang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, di sini, sekitar jam 2.40 petang.
Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, syarikat penerbangan dari Singapura itu memilih Kuantan kerana keindahan dan tarikan alam semulajadi yang dimiliki di negeri ini.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan Scoot yang mengambil pendekatan untuk membuka laluan baharu dari Singapura ke Kuantan sebagai pintu masuk ke negeri Pahang yang memiliki keindahan hutan dan pantai.
“Kita difahamkan, Kuantan menjadi pilihan syarikat tambang murah berkenaan memandangkan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah ini merekodkan 241,000 pergerakan penumpang sepanjang tahun lalu.
“Selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Ipoh dan Kuching, kini Kuantan menjadi laluan tambahan kepada hubungan Antarabangsa dua negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Scoot Airline ke Pahang di sini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial Scoot, Vinod Kannan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar; Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Idros Yahya.
Sementara itu,Vinod berkata, Scoot menawarkan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat dengan harga tambang bermula RM45 bagi perjalanan sehala.
“Kuantan adalah strategi baharu Scoot Airline dalam mengembangkan perkhidmatan pernerbangan tambang murah mereka. Kita bukan sahaja memperkenalkan produk pelancongan Pahang kepada rakyat Singapura malah pelancong antarabangsa dari seluruh dunia yang memilih Scoot Airline.
“Kita percaya banyak ruang perniagaan dan destinasi menarik dapat dibawa kepada penumpang-penumbang dengan kadar tambang menakjubkan serta berbaloi yang ditawarkan,” katanya.