Inisiatif Kewangan Sosial bagi Menggalakkan Perkongsian Kekayaan
BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Sadaqa House sebagai salah satu agenda strategiknya bagi Kewangan Sosial. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Industri dan Perdagangan dalam Negeri, Kedah, Dato’ Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail selaku wakil Menteri Besar Kedah; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri
Mohammad Ibrahim bersama-sama dengan Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul
Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin di Karnival Kewangan
(Utara) 2018 yang diadakan di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah.
Idea Sadaqa House dicetuskan oleh Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, Pengarah Urusan
pertama Bank Islam di dalam ucaptama beliau sewaktu menerima ‘Royal Award for
Islamic Finance’ di majlis Global Islamic Finance Forum 2014 (GIFF 2014). Beliau juga
turut hadir di majlis pelancaran tersebut. Sehubungan itu, Bank Islam telah mengambil
langkah proaktif dalam merealisasikan idea murni tersebut.
Sadaqa House membolehkan sumbangan daripada orang awam dibuat menerusi platform
digital pendanaan awam (crowdfunding) dengan usaha sama Ethis Ventures Sdn. Bhd.,
GlobalSadaqah.com, disalurkan bagi merealisasikan projek-projek kewangan sosial untuk
sektor yang kurang mendapat perhatian seperti kesihatan, pendidikan dan keusahawanan.
Selain itu, orang awam juga boleh menyumbang melalui saluran-saluran Bank Islam sedia ada seperti Perbankan Internet, Perbankan Mudah Alih-i TAP, Kad Kredit-i Bank Islam dan sebagainya. Orang awam, tempatan mahupun luar negara, boleh menderma sebarang jumlah wang ke dalam akaun dana Sadaqa House. Di samping itu, Bank Islam akan memadankan dana yang dikumpul pada kadar 1:1 sehingga maksimum RM500,000.
Dalam fasa pertama, Bank Islam akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik untuk melaksanakan projek-projek seperti:
- Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) – bagi menyediakan bantuan kewangan
kepada pesakit IJN terpilih untuk menjalani pembedahan jantung - Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan Technology Park Malaysia (TPM) – bagi
menyediakan kabin pengeringan ikan untuk komuniti nelayan di Kedah - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – bagi menyediakan sistem solar untuk
komuniti “orang asal” di Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, “Sebagai Pengantara Berasaskan Nilai, Bank Islam bertekad untuk mengubah landskap kewangan Islam, di mana ia lebih tertumpu kepada prinsip Triple Bottom Line iaitu mengambil kira aspek Pemerkasaan Sosial, Ekonomi Berdaya Tahan dan Pemulihan Alam Sekitar (Social Empowerment, Economic Resiliency and Environmental Regeneration).
Melalui prinsip tersebut, kami percaya bahawa pembangunan masyarakat adalah asas kemajuan perniagaan kami, justeru, kami akan terus memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan kebajikan sosial yang berkesan. Hari ini, kami telah menggabungkan teknologi dan penyelesaian Syariah dalam menyampaikan perkhidmatan yang selari dengan aliran digital semasa.
![](https://i0.wp.com/prebiu.com/wp-content/uploads/2018/01/Picture-21.jpg?resize=696%2C464&ssl=1)
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan digital Bank Islam dalam memberikan keselesaan pelanggan, perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi dengan memudahkan pelaksanaan. Sadaqa House juga merupakan sebahagian daripada agenda strategik kewangan sosial di mana kami menggalakkan masyarakat melabur secara beretika bagi menyokong pembangunan ekonomi sektor-sektor yang kurang mendapat perhatian.
Kami menggalakkan orang ramai untuk melabur demi kebaikan bersama dalam projek-projek
kewangan sosial yang menjadi pilihan mereka. Dan dengan adanya tawaran nilai yang
menggalakkan ketelusan, penyumbang boleh memastikan dana yang disumbang
disalurkan dengan sewajarnya serta dapat mengikuti progres projek pilihan mereka.
Kami menjangkakan bahawa ia juga akan memberi manfaat ekonomi berganda merentasi
rantaian bekalan.”
Tambah beliau, “Kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai projek-projek sosial
berdaya maju serta memberi manfaat kepada masyarakat terpinggir untuk menghantar
cadangan mereka kepada [email protected] untuk pertimbangan kami.”
Untuk inisiatif ini, Bank Islam telah melantik rakan strategiknya, Ethis Venture Sdn. Bhd.,
diasaskan oleh Umar Munshi (Ethis Pte Ltd, Singapore) yang mengendalikan EthisCrowd.com – Pendanaan Awam Hartanah Islamik (Real Estate Islamic Crowdfunding) pertama di dunia yang ditubuhkan pada 2014. Ethis Ventures yang baru diperbadankan di Malaysia untuk membangunkan penyelesaian Teknologi Kewangan Islamik (Islamic Fintech) baru memfokus kepada pendanaan awam untuk Kewangan Sosial Islam dalam GlobalSadaqah.com dan ia merupakan satu-satunya pengendali patuh Syariah yang dianugerahkan lesen pembiayaan P2P (Peer-to-Peer) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Ethis Ventures akan memanfaatkan pangkalan data pelanggannya bagi melaksanakan inisiatif pendanaan awam (crowdfunding). Umar Munshi menyatakan, “Kami percaya bahawa terdapat keperluan yang tinggi untuk pendanaan awam Islamik di Malaysia dan rantau ini. Dengan tahap kesedaran yang tinggi, kami yakin bahawa pendanaan awam Islamik ini mampu berkembang pesat dan memberi impak kepada setiap lapisan masyarakat.
Kita boleh mempertingkatkan sistem kewangan dan mengukuhkan asasnya dengan adanya modal sosial. Platform ini dapat menarik para penderma yang tidak terhad kepada umat Islam dan rakyat Malaysia tetapi juga penderma dari seluruh dunia bagi membina masa hadapan bersama. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Bank Islam, perintis perbankan Islam yang mengutamakan FinTech bagi menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti.”
Untuk maklumat lanjut, layari www.bankislam.com.my