Selepas Pulau Pinang dan Selangor Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) ke lokasi di Johor pada 19 dan 20 Januari ini yang akan berlangsung di Medini City, Iskandar Puteri.
INI adalah peluang kepada anda untuk bertemu dengan barisan selebriti kegemaran anda menerusi perlumbaan Vios Challenge yang menampilkan lapan selebriti seperti Fattah Amin, Shukri Yahaya, Janna Nick dan Diana Danielle.
Mereka akan bersama Geraldine Dan, Danny Ko, Shawn Lee dan Venice Min bersaing untuk kategori Promotional di litar khas dalam bandar menggunakan kereta Toyota Vios.
Selain sesi bertemu peminat, aktiviti lain juga disediakan kepada pengunjung seperti pameran model terkini kenderaan Toyota dan aksi drift daripada pemandu profesional Jepun.
Ia bakal menjadi perlumbaan jalanan dengan litar yang sama sekali asing bagi semua pelumba. Dengan jentera Vios yang dibangunkan mempunyai kemampuan yang sama, hanya kemahiran setiap individu mengendaikan kenderaan yang akan memisahkan kedudukan di antara mereka.
Formula perlumbaan seperti ini terbukti berjaya dengan aksi-aksi yang mendebarkan, seperti yang dapat dilihat pada dua perlumbaan sebelum ini, di Batu Kawan, Pulau Pinang dan MAEPS
Serdang.
Apabila kami memperkenalkan perlumbaan Vios Challenge ini, kami jangka akan dapat melihat peningkatan tahap persaingan antara pelumba dari semasa ke semasa. Tetapi, melihat sejak perlumbaan pertama sahaja sudah cukup untuk merasakan kehangatan acara ini, baik bagi pengunjung, mahupun untuk semua pelumba dalam ketiga-tiga kelas yang mempamerkan aksi pemanduan yang berkualiti.
Ia sebuah pengalaman yang menakjubkan, dan menjadi acara yang wajib dialami sendiri oleh semua peminat sukan perlumbaan, kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
Walaupun pada perlumbaan awal bagi kategori Promotional diungguli oleh Shawn Lee, sedikit
kesilapan yang dilakukan dalam perlumbaan terakhir di MAEPS Serdang menyaksikan kereta
dipandunya berpusing pada pusingan pembukaan. Shukri Yahaya tidak melepaskan peluang
keemasan untuk memanfaatkan kesilapan itu untuk muncul juara. Kemenangan berkenaan
meletakkan Shukri hanya lima mata di belakang Shawn, sementara tempat ketika diduduki oleh Danny Koo yang ketinggalan 14 mata.
Semua pemandu ini berpeluang untuk muncul juara, begitu juga dengan satu-satunya pemandu wanita yang berjaya naik podium yang kini berada dikedudukan keempat.
Bagi kategori Sporting pula, aksinya tidak kurang mendebarkan, selepas perlumbaan di Kuala
Lumpur menyaksikan muka baru muncul di podium bagi kedua-dua pusingan yang berlangsung.
Pendatang baru, Brendan Anthony berjaya menjadikan impiannya untuk membantu jentera
pasukan Dream Team mencapai kemenangan sulung menjadi kenyataan. Dalam pusingan kedua pula, Patrick Tam dari Team Nanoplus berjaya merampas kedudukan pertama, memberikan kemenangan pertama kepadanya dalam siri perlumbaan ini.
Dengan pencapaian menamatkan perlumbaan yang berterusan bagi Brandon Lim dari pasukan Tedco Racing di Batu Kawan dan MAEPS Serdang, beliau kini mendahului kedudukan
keseluruhan dengan 57 mata dan mempunyai kelebihan 10 mata mengatasi Ken Foo. Patrick
berada dibelakang dengan perbezaan mata yang tipis. Namun, Kenneth Koh, Brendan Anthony dan Jackson Tan mengikuti rapat di belakang dan akan berhasil untuk merampas kedudukan di atas sekiranya pendahulu-pendahulu melakukan walau hanya sedikit kesilapan.
Bagi kategori Super Sporting pula, saingannya lebih sengit antara tujuh pemandu profesional yang terpisah hanya dengan perbezaan 20 mata. Tengku Djan masih kekal mengungguli persaingan dalam kejuaraan ini, walaupun hanya mengumpul sembilan mata ketika perlumbaan di MAEPS Serdang. Tetapi, kelompok ini yang terdiri daripada Mitchell Cheah, William Ho, Mark Darwin, Shafiq Ali, Boy Wong dan Ser Ming Hui tetap mempunyai peluang yang masih terbuka untuk mengatasi Raja Drift Malaysia itu pada litar yang lebih lebar dan pantas di Medini nanti.
Dengan hujan sekali lagi dijangka akan turun, permukaan litar akan lebih sukar dijangka sekali gus menjadikan perlumbaan di Johor nanti akan lebih banyak aksi mencabar.
Pentas utama dimeriahkan dengan barisan pelakon Drama Sangat daripada Media Prima dan penampilan istimewa watak superhero Ejen Ali bersama Comot.
Terdapat pelbagai hadiah dan cenderahati akan diedarkan sepanjang hujung minggu ini, tetapi habuan paling besar ialah sebuah Toyota Vios Sports Edition yang ditawarkan sebagai hadiah utama bagi acara cabutan bertuah.
Peminat kenderaan-kenderaan Toyota juga boleh mendekati model-model terkini yang turut akan dipamerkan, termasuk Toyota Vios 2018 dan yang paling menarik perhatian, C-HR yang juga akan ditampilkan di sana. Sesi pandu uji turut disediakan kepada pengunjung yang berminat.
Selain itu, pengunjung tidak seharusnya ketinggalan untuk menyaksikan pertunjukkan lagak ngeri daripada juara dunia dari Jepun, Masato Kawabata dan Takahiro Imamura yang akan mengambil tempat dengan memandu jentera drift Toyota 86 sebenar.
Selari dengan usaha UMW Toyota Motor untuk mempromosi aktiviti-aktiviti sihat, selamat dan sesuai untuk seisi keluarga, litar lumba di Toyota GAZOO Racing (TGR) di Johor ini akan dibuka selama sejam pada sebelah pagi Sabtu untuk acara berbasikal bagi mereka yang sudah mendaftar, sekaligus memberikan peluang kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam litar berkenaan dalam suasana yang selamat dan terkawal.
Tarikan lain sepanjang Toyota GAZOO Racing (TGR) di Medini City ini ialah kehadiran peniaga-peniaga trak makanan popular terutamanya dari Johor sendiri, seperti Brader Doug, Tacoloco, Salys Streetfood, dan Aromorasa.
Masuk adalah percuma bagi semua acara di festival perlumbaan Toyota GAZOO Racing (TGR), dan semua aktiviti akan bermula pada 9 pagi hingga 6.30 petang. Bagi perkembangan terkini, maklumat acara dan lain-lain perkara berkaitan lawati laman rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia, atau ikuti akaun Instagram dan Facebook yang disediakan.