Anda peminat kereta MINI?. Kini peluang anda untuk memiliki model edisi MINI Clubman Sterling, yang pernah dilancarkan dengan unit terhad sebanyak 20 unit pada Ogos lalu.
BAGAIMANAPUN, untuk edisi kali ini juga dalam jumlah terhad iaitu hanya 40 unit ditawarkan dengan tempahan secara dalam talian menerusi laman web khas mula 11 Januari 2018. Mereka yang berminat boleh membayar yuran tempahan sebanyak RM2,000.
Clubman Sterling Edition ditawarkan pada harga atas jalan RM268,888 tanpa insurans dan termasuk waranti selama empat tahun/perbatuan tanpa terhad, pakej servis percuma empat tahun/60,000 km dan program Bantuan Tepi Jalan lima tahun.
Melihat kepada rekabentuk luarannya, model ini ia disimbahi warna perak (Melting Silver) bersana perumah cermin sisi dan bumbung diwarnakan hitam (Matte Black Jack). Selain itu, ia diserlahkan lagi dengan simbol Black Union Jack pada bahagian scuttle sisi bagi mengingatkan asal-usulnya dari Britain.
Bagi menambahkan ciri edisi terhadnya, model ini dipadankan dengan rim khas MINI Yours Masterpiece bersaiz 18-inci dalam warna hitam.
Manakala ruang dalamannya pula, diserlahkan dengan kombinasi warna Indigo Blue dan Pure Burgundy. Ruang kabin berwarna Pure Burgundy itu juga hadir dengan ciri iluminasi MINI Yours yang membolehkan pemilik untuk memilih 12 warna yang telah ditala ke bahagian kemasan, untuk disesuaikan dengan mood dan kecenderungan pemandu serta penumpangnya.
Ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan upholsteri kulit lembut dan mewah Chester berwarna biru yang dihasil untuk memberi keselesaan kepada tangan pemandu melalui jahitan berbentuk diagonal. Bukan itu sahaja, reka bentuk tempat duduk sport itu menyerlahkan warisan British pada MINI. Pada masa yang sama memberikan interpretasi yang kontemporari ke atas karekteristik corak berliannya.
Roda sterengnya juga dibaluti kulit Nappa yang lembut dan disempurnakan lagi menerusi jahitan tangan berwarna aluminium. Di bahagian bawah stereng, terdapat lencana Union Jack yang menjadi signaturnya.
Malah model ini turut dilengkapi dengan MINI Connected iaitu sistem infotainmen yang tercanggih. Ia juga hadir dengan skrin LCD resolusi tinggi 6.5 inci yang dipasang pada bahagian tengah speedometer bersama grafik yang menghiasi sekelilingnya.
Antara muka Spotify yang intuitif juga ada pada skrin MINI, manakala semua fungsi kawalan mudah diakses menggunakan MINI controller yang kecil tetapi padat dengan pelbagai ciri.
MINI Clubman Sterling ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.
“Ini merupakan kali pertama dalam industri automotif Malaysia apabila kami memperkenalkan MINI Clubman Sterling Edition baru eksklusif menerusi dalam talian dan kami berbangga ia berjaya dijual keseluruhan 20 unit. Dalam kurang daripada dua minggu sejak dilancarkan, MINI edisi terhad ini habis ditempah secara menerusi dalam talian membuktikan rakyat Malaysia sangat menghargai eksklusiviti kereta premium sebegini,” kata Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.
“Disebabkan respon yang memberangsangkan ini, MINI Clubman Sterling Edition baru kembali lagi sempena dengan sambutan Tahun Baru dan ia didatangkan dengan teknologi baru untuk pengalaman yang lebih unik.
“Tambahan pula, MINI edisi terhad ini memang cukup menguja dan mampu menjadi penanda aras bagi segmen kompak premium dan ia akan berterusan,” katanya.