Sambutan menggalakkan oleh para belia menyertai Festival Zapin hasil kerjasama Malaysia Airports dengan Majlis Belia Malaysia
SATU Festival Zapin Belia Malaysia 2017 julung-julung kali diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL hasil usahasama Malaysia Airports dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Anjuran festival zapin ini merupakan salah satu inisiatif Malaysia Airports dalam meneruskan usaha penjenamaan Malaysia di lapangan terbang di bawah payung ‘Joyful Malaysia’
Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali berkata, “Trend kebanyakan lapangan terbang terkemuka dunia kini banyak menjurus kepada penyediaan persekitaran yang melambangkan identiti negara atau ‘sense of place’ di mana ia beroperasi. Festival zapin ini merupakan unjuran daripada inisiatif Anjung Malaysia yang baru dirasmikan bulan lepas. Kini kami juga berusaha untuk memartabat serta memperkenalkan seni warisan kebudayaan Melayu kepada pengunjung asing.”
Festival zapin ini juga merupakan sebuah program tanggungjawab sosial korporat Malaysia Airports yang mana ia dapat menggalak golongan belia Malaysia untuk menyemarakkan lagi seni warisan budaya Malaysia yang nyata unik. Badlisham berkata, MBM merupakan rakan kerja paling tepat dalam usaha ini kerana badan induk pertubuhan belia tersebut telah banyak menjayakan program-program kemajuan belia selaras dengan aspirasi Transformasi Nasional (TN50) untuk menjadikan Malaysia sebagai 20 negara terbaik menjelang tahun 2050.
Fesitival tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi yang dalam ucapannya berkata, “Saya menyokong penuh usaha ini kerana festival ini merupakan serampang dua mata. Pertama, ia merupakan akitiviti sihat yang dapat mengajak golongan belia menghargai warisan negara. Keduanya, apabila festival sebegini dijalankan di sebuah lapangan terbang antarabangsa, sudah tentunya ia akan menjadi satu landasan bagi kita mempamerkan budaya kita sebagai satu tarikan pelancong.”

KLIA merupakan gerbang utama laluan pelancong memasuki Malaysia dan telah menerima sejumlah bilangan pelancong yang besar. Sepanjang bulan Januari hingga November 2017, KLIA mencatat lebih kurang 38 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan ini merangkumi lebih 70% jumlah keseluruhan pergerakan penumpang di KLIA. Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa meningkat lebih 14% berbanding tahun 2016
Kempen Festival Zapin ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 25 kumpulan zapin dari pelbagai organisasi belia di seluruh negara seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Festival Zapin ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM13,500 kepada para pemenang. Juara Festival Zapin memenangi wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara memenangi RM3,000 dan pemenang tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000. Manakala pemenang saguhati akan mendapat RM500 bagi setiap pasukan. Turut hadir memeriahkan Festival Zapin ini adalah Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal.

1) Pemenang pertama-Rentak Seni
2) Pemenang kedua-Will Dance Company
3) Pemenang ketiga-Ask Dance Company
Mengenai Malaysia Airports
Malaysia Airports merupakan salah satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar dunia dari segi jumlah penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang di luar negara iaitu di Istanbul, Turki. 39 lapangan terbang di Malaysia terdiri daripada enam lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 Pelabuhan Berlepas dan Pelayaran Singkat (STOLports). Ia juga menyediakan perkhidmatan pengurusan lapangan terbang dan teknikal untuk pembangunan, operasi, penyelenggaraan dan pengurusan lapangan terbang antarabangsa luar negara. Pada 30 November 1999, Malaysia Airports menjadi syarikat lapangan terbang pertama yang disenaraikan di Asia.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang utamanya, menduduki tempat teratas dalam kategori (> 40 mppa) dalam Anugerah ACI ASQ. Pada tahun 2014, ia menerima Lapangan Terbang Besar Tahun ini di Anugerah Kecemerlangan CAPA dalam Penerbangan Asia Pasifik 2014. Dengan kemasukan klia2 sebagai terminal kedua KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terus berhasrat untuk menjadi pilihan hab ASEAN. Selama bertahun-tahun, Malaysia Airports dan lapangan terbang yang dikendalikannya juga telah menerima pelbagai anugerah lain yang mengakui komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan, penglibatan, tanggungjawab korporat dan tadbir urus.
Malaysia Airports Holdings Berhad disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Malaysia”)