Pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Record menerusi penyertaan peserta paling ramai dalam pertandingan kerusi muzikal yang disertai oleh 1,647 peserta.

YAYASAN Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), sebuah unit di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, sekali lagi menganjurkan acara tahunan Karnival Yayasan Peneraju yang mengumpulkan lebih 2,000 penerima faedah Yayasan Peneraju dari program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional dengan sokongan rakan program, penyumbang dana serta kakitangan Yayasan Peneraju. Setakat ini, Yayasan Peneraju mempunyai lebih daripada 17,000 penerima faedah sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Raja Azura Raja Mahayuddin, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju berkata, setiap tahun Karnival Yayasan Peneraju mengumpulkan ribuan penerima faedah daripada pelbagai latar belakang dan program seawal usia 11 sehingga 40 tahun untuk bertemu, berinteraksi serta belajar daripada satu sama lain menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Penganjuran karnival pada tahun ini sangat istimewa kerana Yayasan Peneraju turut melakar sejarah tersendiri apabila karnival ini turut mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Record menerusi penyertaan peserta paling ramai dalam pertandingan kerusi muzikal yang disertai oleh 1,647 peserta.

“Pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records merupakan satu penghargaan yang amat bermakna buat semua pihak yang telah bekerja kuat dalam menjayakan karnival ini. Saya percaya pengiktirafan ini akan membakar semangat kami untuk terus berusaha membangun dan melahirkan bakat-bakat bumiputera yang sentiasa ingin bersaing dan mencipta kejayaan di peringkat tertinggi sama ada di dalam negara atau di persada dunia,” kata Raja Azura.

Karnival Yayasan Peneraju 2017 yang bertemakan FI•ES•TAR17 (Food, Ideas, Entertainment, Scholars Talents & ARts) merupakan program tahunan yang dianjurkan pihak Yayasan bertujuan memupuk semangat setiakawan dan kekeluargaan di kalangan para penerima faedah di samping menggalakkan interaksi dan mengeratkan hubungan di antara penerima-penerima faedah. Ini penting kerana sebagai sebahagian daripada keluarga besar Yayasan Peneraju, kami ingin memastikan rangkaian yang utuh demi menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada agenda Bumiputera dan pembangunan negara sementara mereka masih dalam tajaan, mahupun sesudahnya.

Pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang karnival selama sehari ini. Antaranya pertandingan mencungkil bakat iaitu mini HipSTAR, pertandingan futsal, bengkel kemahiran seni dan sukaneka. Ke semua program ini dijalankan secara santai supaya para peserta tidak merasa bosan di samping dapat menarik minat peserta untuk mengambil bahagian secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Apa yang menariknya, walaupun karnival ini dianjurkan oleh Yayasan Peneraju, tetapi semua perancangan, pengurusan serta pemilihan aktiviti turut dikendalikan oleh para penerima faedah. Pendekatan seperti ini dilihat mampu meningkatkan keyakinan diri, membentuk semangat kerja berpasukan dan menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan yang ada pada para penerima faedah yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia.

Tahun ini, sepertimana penganjuran karnival sebelum ini, Yayasan Peneraju turut menerapkan elemen Tanggungjawab Sosial (CSR) dengan konsep ‘berhibur sambil beramal’ dalam aktiviti yang dijalankan. Antaranya, sebahagian daripada hadiah kemenangan berbentuk wang tunai yang dimenangi oleh peserta akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan yang dipilih sendiri oleh penerima faedah. Selain itu, sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti usahawan kecil, Yayasan Peneraju turut mempelawa para peniaga pasar malam untuk menyediakan makanan kepada para peserta. Secara keseluruhannya, nilai CSR yang dikumpul pada karnival tahun ini mencecah RM60,000.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Karnival Yayasan Peneraju 2017 termasuk syarikat Ekuinas yang telah berbesar hati menaja minuman CoolBlog yang sedang tular sekarang kepada para peserta,” kata Raja Azura.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini