TNB Buat Persediaan Di Semua Empangan Hidroelektrik Menjelang Musim Tengkujuh
TENAGA Nasional Bhd (TNB) sudah membuat persediaan di semua empangan hidroelektrik miliknya menjelang musim tengkujuh bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Persediaan ini, termasuk latihan pengungsian yang dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan,” kata Pengurus Besar Kanan (Operasi Aset), Bahagian Penjanaan TNB, Ir. Roslan Abd Rahman.
Beliau berkata, selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik milik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir.
“Dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, empangan-empangan kami dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya dalam kenyataan.
Roslan turut menegaskan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti nasional itu sedang beroperasi berada dalam keadaan baik dan selamat.
Empangan-empangan hidroelektrik TNB terletak di Tasik Kenyir, Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau facebook TNB CareLine.