MENYAKSIKAN titisan air hujan dari tingkap kereta, dalam penerbangan, bas, hotel atau di mana saja antara pengalaman paling menarik ketika hari hujan. Si kecil pula pastinya akan meloncat keriangan saat diberi peluang bermain di taman ketika hujan sedang membasahi bumi. Melihat keseronokan, kegembiraan dan keterujaan anak berlari riang bermain hujan, sememangnya cukup membahagiakan.

Musim hujan bukanlah alasan untuk anda tidak membawa anak berjalan atau mungkin membatalkan percutian yang sekian lama dirancang. Alasan risaukan kesihatan anak kini bagaikan tidak sesuai digunakan bagi membatalkan atau menunda percutian bersama ke destinasi kegemaran mereka. Ini kerana, walaupun musim hujan dan cuaca yang sejuk, banyak faktor boleh dititikberatkan supaya segala hal merisaukan bertukar kepada keseronokan, sekali gus menjadi detik terindah buat anda sekeluarga.
Dengan perancangan yang teliti, pilihan destinasi sesuai dengan keadaan cuaca serta aktiviti dirancang, bercuti ketika musim hujan adalah sesuatu yang menyeronokkan. Secara tidak langsung, anda juga berpeluang menikmati pengalaman baru dan melihat aktiviti masyarakat tempatan di lokasi percutian saat musim hujan.
Tips ini mungkin dapat membantu anda merancang atau akan bercuti ketika musim hujan.
1. Kenali atau tentukan destinasi yang akan anda tuju
Jika destinasi percutian anda adalah negara tropika, maka sudah dipastikan di akhir tahun adalah musim hujan. Ketahui musim hujan di destinasi percutian anda yang ingin dikunjungi.
Dengan itu, anda boleh bersedia dari segala macam keperluan.
2. Buat perancangan awal
Dengan perancangan awal, anda sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku terutama ketika musim hujan.
Anda juga boleh menyediakan beberapa alternatif lain saat hujan lebat dengan menyediakan permainan di bilik penginapan supaya anak tidak merasa bosan sementara menunggu hujan reda.
3. Babitkan anak bersama. Dalam melakukan perancangan bercuti di musim hujan, adalah lebih baik babitkan anak anda kecuali ia adalah percutian kejutan buat mereka.
Dengan membabitkan mereka dalam merancang percutian, mereka akan berasa lebih dihargai. Selain itu, ia juga merangsang mereka untuk lebih kreatif dan peka terhadap percutian di musim hujan yang memerlukan perhatian khusus.
Pembabitan si anak dalam perancangan percutian dengan cuaca basah juga akan membuatkan mereka sentiasa bersedia dengan pelbagai perkara terutama ketika sesuatu rancangan itu terpaksa dibatalkan.
Dengan itu, mereka tidak akan berasa kecewa jika apa yang dirancang itu terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
4. Senaraikan semua kelengkapan secukupnya. Dengan cuaca yang agak basah kerana hujan, menyediakan semua keperluan mengikut senarai adalah sangat dituntut.
Ini termasuk membawa pakaian sesuai, jaket, payung dan kasut kalis air bagi semua anggota terutama si kecil. Sesetengah orang berpendapat membawa payung tidak praktikal, tetapi ada pula yang membawanya kerana mereka lebih selesa menggunakannya ketika hujan.
Jika anda tidak mahu membawa payung, pastikan jaket yang dipakai bersesuaian dengan musim berkenaan atau mungkin anda boleh membawa baju hujan pakai buang yang lebih ringan setiap kali berjalan.
5. Pilih pakej yang sesuai. Bagi anda yang ingin mengikuti pakej bersama agensi pelancongan, pilih pakej pelancongan bersesuaian dengan keadaan anda sekeluarga.
Memilih pakej ditawarkan agensi pelancongan adalah alternatif menarik di musim hujan. Ini kerana dengan mengikuti rombongan, pelancong akan menaiki bas persiaran disediakan.
Oleh itu, anda tidak perlu bertukar-tukar kenderaan dan berisiko terkena hujan ketika mengunjungi tempat menarik.
6. Pilih tempat yang betul. Sebelum pergi bercuti, pastikan anda sudah memilih tempat menarik yang akan dikunjungi.
Namun, pastikan lokasi yang akan dilawati itu memiliki kemudahan awamnya. Anda boleh membuat penyelidikan menerusi internet tempat yang ingin di kunjungi. Dengan itu, anda sekeluarga tidak terlalu lama berjalan dan mengambil risiko kehujanan di jalan.
7. Membawa bekalan ubatan yang sesuai. Bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika melancong di musim hujan ini, bawalah ubat yang bersesuaian untuk kegunaan anda sekeluarga terutama si anak.
Ubat selesema dan batuk adalah satu keutamaan kerana penyakit itu senang menyerang di musim hujan.
Sehubungan itu, bercuti bersama keluarga walaupun musim hujan, jangan tertekan atau kecewa dengan keadaan dan hadapilah dengan lebih tenang dan santai. Percutian adalah saat yang menyenangkan dan masa cukup berkualiti dihabiskan bersama anak dengan keseronokan.
Oleh itu, nikmatilah saat indah bercuti bersama anak yang sememangnya menjanjikan kenangan terindah buat anda sekeluarga. Selamat bercuti dari Prebiu.com

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini