SELEPAS popular dengan drama masing-masing, akhirnya permintaan peminat untuk menyaksikan gandingan pelakon Ayda Jebat dan Syafiq Kyle sebagai hero dan heroin tercapai.

Kedua-dua pelakon popular ini muncul dalam drama bersiri terbaru berjudul Dekatkan Jarak Kita yang sudah menemui penonton sejak semalam.

Dekatkan Jarak Kita adalah sebuah drama bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang 15 episod yang diterbitkan oleh JS Pictures Sdn Bhd di bawah arahan saudara Azman Hj Yahya @ Jinggo.

Selain Ayda dan Syafiq, drama ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat lain seperti Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross dan Azhan Rani.

Drama Dekatkan Jarak Kita ini mengisahkan sepasang kembar tidak seiras, Tashriq dan Sofea yang tinggal bersama ibu mereka, Umi Khadijah setelah kematian ayah mereka akibat serangan sakit jantung. Tuan Kamil, sahabat lama keluarga itu muncul dalam kehidupan mereka dengan niat untuk membantu Umi Khadijah dalam menjalani kehidupannya.

Tidak lama setelah kemunculannya itu, Umi Khadijah dan Tuan Kamil berkahwin. Walau bagaimanapun, Umi Khadijah tidak mengetahui bahawa Tuan Kamil mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu untuk merampas harta Umi Khadijah kerana Tuan Kamil sebenarnya telah muflis.

Demi mengukuhkan asas agendanya, Tuan Kamil menghasut Tashriq untuk menyebelahinya dan membenci kembarnya Sofea kerana sebahagian daripada perancangannya adalah untuk menyingkirkan Sofea.

Satu hari, Tuan Kamil membawa keluarganya berkhemah di sebuah tempat peranginan yang baru dibuka. Namun ketika mereka berkhemah itu, Sofea didapati hilang dan ini merisaukan Umi Khadijah kerana Sofea menghidap penyakit leukimia. Masa berlalu, sehingga Umi Khadijah terpaksa akur bahawa anak perempuannya telah hilang dan menganggapnya telah meninggal dunia.

Setelah beberapa hari berlalu semenjak kehilangan Sofea, sepasang suami isteri, En. Kifli dan Pn. Zainab telah menemui Sofea dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kawasan perkhemahannya.

Mereka telah mengambilnya sebagai anak angkat kerana Sofea enggan pulang ke keluarga kandungnya. Tambahan pula, En. Kifli dan Pn. Zainab mampu mengawal leukimia Sofea dengan perubatan kampung dan anak mereka Allysa tidak lagi keseorangan. Sofea dan Allysa semakin akrab, namun menjadi renggang pada tahun akhir universiti mereka kerana Sofea dan Allysa memendam perasaan yang sama terhadap rakan sekelas Sofea, Arif.

Nasib tidak menyebelahi Sofea kerana Arif memilih Allysa dan bakal mendirikan rumah tangga. Kerana terlalu kecawa, Sofea memilih untuk hidup bersendirian dan mengabaikan kesihatannya.

Berjayakah Allysa menegakkan keadilan dalam keluarga Umi Khadijah? Mampukah rahsia Allysa bertahan daripada pengetahuan Tashriq dan Tuan Kamil? Dapatkan jawapan bagi persoalan-persoalan ini dalam drama bersiri yang penuh trajis Dekatkan Jarak Kita setiap Isnin hingga Rabu pada jam 10 malam di TV3 dalam slot Samarinda bermula 21 November 2017. Gambar ihsan TV3

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini