KERAJAAN akan kenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak sekiranya harga runcit petrol RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.
Kementerian Kewangan berkata, langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Pada masa ini, kerajaan telah melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia.
“Langkah ini telah berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar,” kata kementerian dalam kenyataan, semalam.
Kementerian itu berkata, kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan, di samping gas masak (LPG).
Menurut Kementerian Kewangan, penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing secara mingguan iaitu purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.
“Kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini mencecah lebih AS$60 (RM249.60) setong,” menurut kenyataan itu.
Sekiranya harga minyak mentah dunia naik, maka harga runcit produk petroleum turut naik. Sebaliknya harga runcit produk petroleum akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun.