Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) premium ini diedarkan oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT)

SEJAK model MPV Toyota Vellfire dan Alphard dibawa masuk ke Malaysia menerusi pengimport bebas, model ini mendapat perhatian golongan kaya dan pertengahan disebabkan ruang serba mewah yang ditawarkan.

Bagaimanapun, kebanyakan model ini tidak mendapat talaan sempurna untuk cuaca Malaysia termasuk sistem audionya yang jelas tertera tulisan Jepun di mana negara asal MPV ini dibawa masuk secara import sepenuhnya. Ia terus mendapat sambutan disebabkan harganya lebih murah berbanding ditawarkan oleh UMWT yang pernah membawa masuk kedua-dua model ini pada satu ketika dahulu.

Sekali lagi, UMWT membawa pula model generasi terkini Alphard dan Vellfire ke Malaysia pada tahun lalu dengan jaminan pengeluaran yang dianggap berbaloi pada tanda harga yang  ditawarkan malah ECU enjin, sistem audio dan navigasi mengikut talaan sepenuhnya mengikut ciri negara ini.

Secara kasar jika dilihat, kedua-dua varian model ini memiliki rekabentuk yang tidak banyak berbeza. Bagaimanapun, perbandingan lebih teliti di bahagian hadapan khususnya, gril hadapan yang juga ‘muncung’ Alphard 3.5 liter berwarna putih Mutiara ini lebih menonjol apabila menampilkan rekaan berkonsep ‘Berani dan Hebat’ dengan gril besar kemasan krom bak perisai dan berkotak-kotak.

Pada gril ini juga ditempatkan logo simbol khas pada bahagian tengah yang diapit pula sepasang lampu hadapan LED berbentuk J larasan automatik dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED serta sepasang lampu kabus dua diod LED yang ditempatkan pada perumah berbentuk segi empat, di setiap sisi bahagian bawah bampar hadapan.

Sebaik melangkah ke bahagian dalaman, tema warna ‘beige’ dengan kemasan kayu berwarna perang menghiasi keseluruhan ruang dalamannya sekali gus menyerlahkan ciri kemewahannya sesuai bagi syarikat yang mahu menonjolkan imej korporat ‘hebat’ ketika membawa tetamu khas syarikat.

Secara teknikalnya, kabin Alphard ini direka berkonsep ‘Avant Gorgeous’ yang mengekalkan ciri premium MPV menerusi penggunaan bahan berkualiti tinggi.

Model Alphard ini mendapat sokongan penuh andai dihantar ke mana-mana pusat servis sah sekali gus pemiliknya tidak perlu bimbang dengan aspek penyelenggaraan dan alat ganti yang dijamin tulen. Ini kerana kedua-dua model berkenaan mendapat jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had selain jaminan ketersediaan alat ganti selama 10 tahun.

Memandu uji model Toyota Alphard berkuasa 3.5 liter ini terbukti memberikan kepuasan sebenar daripada aspek keselesaan, kestabilan dan pengendalian yang mudah meskipun bersaiz besar.

Ketika di laluan lurus lebuh raya, MPV ini tidak menghadapi masalah untuk memecut laju apatah lagi memintas kenderaan lain dan keselesaan ditawarkan tidak sahaja kepada penumpang malah pemandu sendiri cukup selesa dengan kedudukan kerusi empuknya yang mudah dilaras sesuka hati secara elektronik bagi memenuhi keinginannya.

Bagaimanapun, beberapa ciri mungkin boleh dipadankan pada masa depan mengikut pandangan peribadi ialah ciri kamera 360 darjah bagi membantu ketika memarkir dan lampu amaran pada cermin sisi bagi tujuan memaklumkan kehadiran kenderaan di sisi kiri atau kanan.

Ciri Menarik Alphard

  • Rekaan hadapannya menampilkan gril hadapan besar kekemasan krom umpama ‘perisai’
  • Dilengkapi roda aloi 18-inci dengan rekaan menerapkan konsep ‘Berani dan Hebat’
  • Panjangnya cuma 4,915mm berbanding Vellfire 4,930mm manakala lebar sama iaitu 1,850mm dan tinggi 1,895mm
  • Berkongsi rekaan berkonsep ‘Avant Gorgeous’
  • Dilengkapi tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3
  • Barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘kapten’ bersama perehat kaki Ottoman
  • Sistem infotaimen dengan skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci
  • Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, lampu suasana 16-warna pada kabin belakang, skrin hiburan 10.2-inci (dengan kawalan jauh dan fon kepala tanpa wayar) di belakang, pendingin hawa tiga-zon berserta liang dan kawalan di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic
  • Dengan satu sentuhan pada butang di stereng, anda boleh mengubah nada bunyi pintu gelongsor kepada tiga pilihan
  • Dikuasakan enjin 2GR-FE V6 3.5 liter DOHC dengan Dual VVT-i yang menjana 271 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksimum 340 Nm pada 4,700 rpm
  • Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, pacuan roda hadapan dan pada aspek penjimatan minyak, model ini dipadankan dengan mod ECO. Namun sayang sekali, model ini tidak dipadankan dengan sistem henti/mula sebagaimana model Vellfire
  • Tujuh beg udara keselamatan di hadapan dan sisi selain tali pinggang tiga mata untuk semua penumpang serta kerusi ISOFIX untuk kemudahan kerusi kanak-kanak
  • Ciri keselamatan lain termasuk ABS dengan sistem pengagihan tekanan brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC) juga setara selain kawalan bantuan pendakian (HAC).

SPESIFIKASI

Toyota Alphard
Enjin: 3.5L, 24V DOHC Dual VVT-i
Kuasa maksimum: 271 PS @ 6,200rpm
Tork maksimum: 340Nm @ 4,700rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Ciri-ciri keselamatan: 7 beg udara, ABS & BA, kawalan cengkaman (TRC), Hillstart Assist, HAC dan EBD.
Harga: RM419,900 (termasuk GST dan insurans)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini