Renault Megane GT baru, cukup sporty dengan gaya tersendiri

RENAULT Megane GT baru yang dinamik dan menarik perhatian kini sedang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2017, yang berlangsung dari 9 hingga esok 12 November 2017.

Dicipta dengan kerjasama Renault Sport Technologies, Renault Megane GT ini membuka dunia baru dalam keterujaan memandu serta ciri sporty seperti yang dimahukan oleh kebanyakan pemandu dan penggemar kereta. Ia menjadi tanda aras sebuah kereta jalanan yang berprestasi pertengahan kepada model prestasi tinggi dan ikonik Megane R.S.

Daya tarikan tersendiri Renault Megane GT bukan sahaja datang daripada paduan serasi kepakaran serta teknologi daripada Renault Sport, dan digabungkan dengan penampilan yang menonjol serta bahagian dalam sporty termasuk sentuhan khas Renault Sport.

Renault Megane GT juga dilengkapi dengan teknologi 4CONTROL – pertama bagi segmen C, dan digabung dengan talaan suspensi yang diperhalusi. Ini menghasilkan kualiti pemanduan sebenar yang masih lagi selesa dan sesuai untuk kegunaan harian.

“Hari ini kami mempertontonkan Megane GT baru untuk menunjukkan rupa terkini Megane generasi baru, yang menampilkan garisan-garisan dinamik, bahagian dalaman yang fokus kepada ciri sport dan enjin yang berkuasa. Megane GT akan memberikan rakyat Malaysia sedikit rasa kepada Megane R.S. yang akan tiba pada masa hadapan.

“Kami juga ada mempamerkan barisan model terkini Renault yang menampilkan falsafah rekaan baru Renault seperti Captur, Koleos dan Clio GT Line,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn Bhd, Kuan Kim Luen.

Prestasi dan pengendalian unggul inspirasi daripada Megane R.S.

Di bawah hud Megane GT ini terdapat enjin petrol Energy TCe 205, yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan EDC untuk memberikan prestasi pemanduan yang berkuasa sambil mengoptimakan kecekapan dan penggunaan bahan api.

Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan adalah sehingga 205 PS pada 6,000 rpm, manakala tork puncak pula 280 Nm dari serendah 2,400 rpm. Kuasa ini juga membolehkan Megane GT memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat manakala kecekapan penggunaan bahan api pula boleh mencecah 6L/100km[1].

Dibangunkan dengan pengetahuan istimewa yang hanya boleh diberikan oleh Renault Sport Technologies, Megane GT baru ini mengambil inspirasi daripada Megane R.S. dan menggabungkan penyelesaian teknologi yang diambil untuk memastikan keseimbangan sempurna antara keseronokan memandu dan keselesaan.

Model itu menampilkan casis khas dan merupakan kenderaan pertama dalam segmennya yang menggunakan sistem 4CONTROL dengan pengemudian empat roda, dikalibrasi khas oleh jurutera Renault Sport.

Sistem 4CONTROL adalah inovasi Renault yang dapat mengawal penjajaran roda belakang, seterusnya memberikan kepuasan memandu yang luar biasa dan menggabungkan tindak balas sports dengan keselamatan.

Pada kelajuan dibawah 80km/j dalam mod Sport dan 60km/j dalam mod lain, roda hadapan dan belakang boleh membelok ke arah yang bertentangan, sehingga 2.7 darjah di belakang, seterusnya memberikan Megane GT pengendalian seperti kereta jarak roda pendek. Pada kelajuan tinggi, roda hadapan dan belakang membelok ke arah yang sama, dengan belokan sehingga satu darjah di belakang, untuk kestabilan yang lebih baik. Fungsi 4CONTROL melakukan kiraan sudut tayar belakang 100 kali setiap saat dan melarasnya mengikut keperluan.

Melengkapkan pakej casis adalah set kalibrasi khas (untuk penyerap hentak, spring, ESP, brek, dan sebagainya) yang boleh mengekalkan keselesaan serta kepelbagai gunaan kenderaan ini pada tahap yang sama. Suspensi Megane GT juga ditala secara rapi oleh jurutera Renault Sport.

Megane GT turut menggunakan teknologi baru yang dibangunkan khas oleh Renault Sport, iaitu Multi Change Down, yang membolehkan penurunan gear pantas, serta Launch Control untuk pecutan dari pegun yang lebih cekap.

Renault Megane GT
Renault Megane GT @ Malaysia Autoshow 2017

Garisan dinamik dan penggayaan luar

Kedudukan tegap Renault Megane GT hadir daripada perkadaran yang seimbang iaitu 4,356  mm panjang, 1,814 mm lebar, jarak roda kiri dan kanan lebih lebar, serta jarak roda hadapan dan belakang 2,670 mm yang lebih panjang berbanding model pesaingnya.

Hasil daripada garisan bahu yang lebih berlekuk, Megane GT dapat memadukan DNA rekaan jenama Renault. Garisan rapi dan tepat di bahagian bawah yang lebih rendah serta bonet yang selari ke bahagian hadapan meningkatkan lagi gaya dinamik kenderaan ini.

Megane GT menampilkan identiti muka hadapan Renault, termasuk logo berlian yang tegak dan besar, serta gril yang luas, manakala kemasan krom berkualiti pula digunakan pada kedua-dua bahagian hadapan dan sepanjang sisinya (keliling tingkap, lencana dan pemegang pintu).

Dua muncung ekzos yang disalut krom memberi persamaan gaya serta rasa simetri dengan dua lubang udara yang terdapat di bahagian hadapan. Muncung ekzos ini terletak di dua bucu diffuser yang dibangunkan dengan inspirasi daripada dunia perlumbaan Formula 1.

Bagi menguatkan lagi indentiti visual jenamanya, Renault Megane GT menampilkan pencahayaan lampu tersendiri di hadapan dan belakang, yang boleh dilihat sama ada pada waktu siang ataupun malam.

Pada bahagian hadapan, lampu utama LED penuh Pure Vision dengan lampu siang (DRL) mempunyai bentuk C yang bersambung ke bawah sehingga bahagian bampar untuk menegaskan lagi identiti hadapannya, dan dalam masa sama memberikan peningkatan yang jelas untuk penglihatan waktu malam berbanding sistem lampu halogen.

Lampu LED di belakang pula menghasilkan pencahayaan sepanjang masa. Unit yang mendatar  panjang ini membantu menjelaskan badannya yang lebar. Hasil penggunaan teknologi Edge Light, lampu ini dapat memberikan kesan khas seperti jalur berus 3D, sekaligus memancarkan lampu merah yang pekat.

Rupa dinamik hatchback prestasi ini dijadikan lengkap dengan lencana ‘GT’ pada gril hadapan, lencana ‘GT’ dan ‘Renault Sport’ di belakang, serta rim aloi 17 inci.

Bahagian dalam fokus kepada pemandu dan gaya kokpit diperhalusi

Perhatian teliti telah diberikan kepada kemasan akhir serta kualiti bahan yang digunakan dalam Renault Megane GT sekaligus memastikan keselesaan terbaik sepanjang perjalanan.

Pelbagai ciri berteknologi tinggi yang diletakkan sekitar pemandu mendapat idea daripada kokpit berbentuk L. Pada bahagian papan pemuka terdapat panel instrumen TFT warna penuh tujuh-inci, serta tambahan skrin sesentuh format potret R-LINK 2 tujuh-inci yang mudah dicapai di bahagian konsol tengah.

Fokus istimewa diberikan kepada kualiti serta keharmonian suasana kabin. Konsol tengahnya luas dan tinggi dan mempunyai perehat tangan yang boleh dilaras. Busa berketumpatan tinggi dengan rasa sentuh lembut yang dipilih untuk papan pemuka Megane GT bersambung terus ke bahagian tepi pintu. Bahan sama juga bersambung daripada bahagian bawah papan pemuka dan pergi ke konsol tengah.

Tempat duduk asli ‘haute couture’ yang dibentuk khas – terbaik dalam segmennya – dapat memberikan keselesaan serta sokongan yang optimum, dan ia dijamin melalui penggunaan busa pelbagai ketumpatan.

Renault Megane GT juga dilengkapi teknologi MULTI-SENSE, yang membenarkan pengguna untuk melaras lebih lagi pengalaman pemanduan mengikut kehendak tersendiri. Ia dilakukan dengan melaras pedal minyak dan tindak balas enjin, kelajuan penukaran gear yang dilakukan oleh transmisi automatik EDC dan mengawal lampu suasana dalam kabin.

Ciri ini boleh diakses secara mudah melalui fungsi R-LINK 2, yang memberikan akses terus kepada empat mod pemanduan berbeza – Sport, Neutral, Comfort dan Perso, dengan pilihan lampu suasana merah, sephia, biru dan ungu. Turut disediakan adalah butang R.S. Drive, yang mengaktifkan Sport Mode untuk pemanduan lebih bersemangat.

Melengkapkan bahagian dalam model itu adalah kemasan krom satin elegan, roda stereng yang dibalut kulit dan pedal penukar gear aluminium, balutan tempat duduk dan kulit pintu hitam dan biru GT, lencana GT pada papan pemuka dan penyandar kepala, serta plet tertulis ‘Renault Sport’ di tepi pintu.

Padat dengan inovasi dan kelengkapan untuk kemudahan dan keselamatan

Renault Megane GT dilengkapi dengan pelbagai ciri standard serta teknologi bantuan pemandu termasuk:

  • Sistem multimedia Renault R-LINK 2 dengan sambungan USB dan kit Bluetooth bebas tangan dengan pemain muzik
  • Sistem bunyi 3D oleh Arkamys dengan 8 pembesar suara
  • Kad bebas tangan yang menawarkan pemasukan tanpa kunci, bersama fungsi mula/henti enjin dan kunci bila beredar
  • Lampu dan pengelap cermin automatik
  • Lampu ‘follow-me-home’
  • Kamera undur
  • Pendingin hawa automatik dua zon
  • ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) dengan EBA (Bantuan Brek Kecemasan) dan EBD (Pengagihan Kuasa Brek Elektronik)
  • ESP (Program Stabiliti Elektronik) dengan ASR (kawalan cengkaman)
  • Enam beg udara (pemandu, penumpang hadapan, bahagian dada pemandu dan penumpang hadapan, beg udara tepi tahap kepala untuk depan dan belakang)
  • Hill Start Assist
  • Cruise control dan pengehad kelajuan
  • Pedal penukar gear di stereng
  • Pedal minyak dan brek aluminium
  • Panel instrumen TFT berwarna 7-inci
  • Idle Start Stop

Megane GT baru dibawa masuk khas untuk pameran di acara Malaysia Autoshow 2017, dan ia juga akan dipertontonkan di pusat pameran Renault terpiilh dalam beberapa minggu yang akan datang. Jadual pameran akan disiarkan di laman Facebook Renault Malaysia.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Renault di Malaysia, sila layari www.renault.com.my atau www.facebook.com/RenaultMalaysia.

Renault Megane GT

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini