Himpun 31 kelab permotoran dari seluruh Borneo

DEMAK Borneo Mega Gathering (DBMG) 2017 yang berlangsung sempena Kuching International Bike Week (KIBW) pada 14-15 Oktober lalu, berjaya mengumpulkan kira-kira 480 peserta dan pemilik motosikal berhimpun di kilang Demak,di Kuching, Sarawak.

Dengan tema ‘Jarak Bukan Penghalang’ kesemua peserta terdiri daripada pelbagai pemilik motosikal Demak dan jenama-jenama lain di mana sebahagian besarnya datang dari 31 buah kelab permotoran seluruh Sarawak dan Sabah.

Malah, lebih membanggakan lagi, ada pemilik motosikal sanggup mengharungi perjalanan sejauh 1,500 kilometer iaitu sejauh dari Tawau, Sabah berkonvoi semata-mata untuk menyertai DBMG yang julung-julung kali diadakan ini.

Demak Borneo Mega Gathering (DBMG) 2017

Selain itu, DBMG turut menerima kehadiran pemilik-pemilik motosikal dari Sabah dan juga yang mengharungi perjalanan beberapa hari bagi menyertai perhimpunan DBMG ini.

Penolong Pengurus Besar Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Demak Marketing Sdn Bhd, Wan Najib Wan Daud berkata, DBMG 2017 ini adalah yang pertama kali diadakan di perkarangan kilang Demak selain ia diadakan bagi memeriahkan KIBW yang berlangsung di City One MegaMall Kuching.

“DBMG merupakan kali pertama diadakan sempenan KIBW dan sambutan yang diterima terlalu menggalakkan dengan jumlah penyertaan seramai 480 peserta dari pelbagai latar belakang pemilik motosikal,” katanya.

Malah katanya, penganjur terpaksa menolak permohonan dari kelab-kelab yang ingin menyertai DBMG di saat-saat akhir berikutan risau mengenai masalah logistik di tempat permulaan konvoi sebelum ke City One MegaMall Kuching.

DBMG kali ini mengimpunkan pelbagai model motosikal keluaran Demak dari model cub hinggalah ke model motorad. Malah bagi pemilik di kawasan Borneo, mereka begitu teruja memiliki model motorad atau off road berikutan keadaan muka bumi serta penggunaan yang lasak.

Wan Najib berkata, sambutan dari pemilik jenama lain juga amat menggalakkan kerana selain dari jenama Yamaha, DBMG turut mengumpulkan jenama dari Honda, Kawasaki, KTM, KTNS, SYM, Modenas dan Ducati.

“Ini menunjukkan semangat kekeluargaan dari kalangan pemilik motosikal adalah kuat tanpa menghiraukan jenama motosikal masing-masing,” katanya.

Demak Borneo Mega Gathering (DBMG) 2017

Para peserta telah mula tiba di perkarangan kilang Demak seawal jam 9.30 pagi dan melakukan pendaftaran dengan diberikan beberapa cenderahati sebagai tanda kenangan DBMG 2017.

Beberapa acara sampingan telah diadakan seperti sesi tunggang uji empat model motosikal Demak, acara stunt oleh pemilik motosikal Demak, sesi karaoke, sesi cabutan bertuah dan jamuan makan tengah hari sebelum semua peserta berlepas ke City One Mega Mall Kuching, kira-kira jam 1.30 petang, yang dilepaskan oleh Pengurus Besar Operasi Demak Marketing (Borneo), Ling Boo Hiung.

Wan Najib Wan Daud (kanan sekali)

Sebelum semua peserta dilepaskan untuk berkonvoi ke KIBW, semua kelab permotoran yang mengambil bahagian di DBMG telah diberikan sijil penyertaan sebagai menghargai kerjasama dan penyertaan mereka.

Berikutan sambutan yang amat menggalakkan itu, sebahagian besar kelab permotoran yang menyertai DBMG kali ini teah menyatakan komitmen masing-masing untuk menyertai DBMG pada tahun hadapan.

Wan Najib berkata, berikutan sambutan yang diterima menggalakkan, pengurusan Demak memikirkan untuk menganjurkan sekali lagi pada tahun depan dengan konsep yang berlainan.

 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini