Bagi keluarga muda yang mencari rumah di sekitar Kuala Lumpur, memiliki kediaman pada harga yang berpatutan semakin mencabar. Menurut Laporan Pasaran Harta Tanah 2025 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga median rumah mencecah RM530,000 di Kuala Lumpur dan RM475,000 di Selangor.
Pada masa yang sama, lebih tiga perempat daripada transaksi hartanah kediaman di seluruh negara melibatkan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah. Namun, harga rumah hanyalah sebahagian daripada pertimbangan.
Masa juga mempunyai nilainya, termasuk masa yang dihabiskan di jalan raya setiap hari. Menurut Indeks Trafik TomTom 2025, pemandu di Kuala Lumpur kehilangan kira-kira 84 jam sepanjang tahun akibat kesesakan trafik pada waktu puncak.
Membeli rumah yang lebih murah di pinggir bandar mungkin bermakna perjalanan yang lebih jauh setiap hari, manakala kediaman yang lebih dekat dengan pusat bandar pula melibatkan kos pembelian yang lebih tinggi.
Jadi, pilihan manakah yang menawarkan nilai lebih baik kepada sesebuah keluarga?
Kebanyakan pembeli akhirnya perlu memilih antara membayar harga lebih tinggi untuk tinggal di bandar atau berulang-alik dari pinggir bandar dengan tempoh perjalanan yang lebih panjang.
Namun, terdapat satu lagi pilihan yang sering terlepas pandang, iaitu kawasan kediaman matang di sempadan bandar. Di kawasan seperti ini, kemudahan seperti sekolah, klinik dan pasar telah lama tersedia, menjadikan pelbagai keperluan harian keluarga lebih mudah diakses.
Ampang ialah salah satu contohnya. Sejarah kawasan ini bermula pada tahun 1857 apabila Raja Abdullah dari Klang menghantar 87 pelombong Cina dari Lukut untuk membuka lombong bijih timah di Ampang.
Kawasan ini merupakan antara lokasi terawal di Lembah Klang yang dibangunkan untuk perlombongan bijih timah. Nama Ampang pula dipercayai berasal daripada perkataan ‘empangan’, merujuk kepada empangan yang dibina oleh para pelombong ketika itu.
Bagi pembeli rumah masa kini, kelebihan utamanya ialah kedudukan Ampang yang bersempadan dengan Kuala Lumpur serta kemudahan dan infrastruktur harian yang telah lama wujud dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat.
Kelebihan ekosistem sedia ada di kawasan kediaman matang sering kali dipandang ringan. Berbeza dengan kawasan perbandaran baharu, yang mungkin mengambil masa untuk membangunkan kemudahan dan aktiviti perniagaan, kawasan kediaman matang telah mempunyai sekolah, klinik, kedai dan pelbagai perkhidmatan yang memenuhi keperluan penduduk setempat.
Bagi keluarga yang sibuk menguruskan persekolahan anak-anak, urusan kerja, pemeriksaan kesihatan dan keperluan ibu bapa yang semakin berusia, kemudahan ini memberikan kelebihan yang jauh lebih bermakna daripada sekadar lokasi yang strategik.
Satu lagi faktor penting yang perlu dipertimbangkan ialah kemudahan pengangkutan. Laluan Lingkaran (“Circle Line”) MRT3 yang bakal dibangunkan turut merangkumi perancangan stesen Taman Hillview, dengan keseluruhan laluan dijangka beroperasi menjelang tahun 2032.
Ini bermakna pembeli rumah hari ini berpeluang menikmati potensi pembangunan rangkaian rel pada masa hadapan, di samping kelebihan memiliki kediaman di kawasan yang sudah dilengkapi pelbagai kemudahan asas.







































