Susulan penerimaan positif pasaran terhadap Soren, fasa pembangunan terdahulu Suria Hill, IJM Land meneruskan momentum pembangunan di perbandaran eksklusif itu menerusi
pengenalan Sovana, koleksi kediaman terbaharu yang direka dengan teliti di puncak bukit.
Pelancaran rasmi dijadualkan pada November 2026, projek ini menawarkan 96 unit rumah teres dua tingkat di atas lot berukuran 20 x 70 kaki, dengan keluasan binaan 1,919 kaki persegi bagi setiap unit serta Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM70.9 juta.
Fasa ini meneruskan perkembangan Suria Hill secara terancang. Terletak kira-kira 50 meter di atas aras laut, Sovana menawarkan persekitaran kediaman yang tenang, lapang dan dilatari pemandangan terbuka merentasi kawasan perbandaran.
Keistimewaan Sovana turut terletak pada lokasinya yang bersebelahan dengan Suria Park seluas 4.42 ekar, antara ruang hijau utama Suria Hill, sekali gus meletakkan kawasan hijau itu sebagai sebahagian daripada kehidupan harian penghuni.
Lokasi strategik ini bukan sahaja menyediakan ruang untuk aktiviti riadah, malah membuka peluang kepada interaksi sosial dan pembentukan komuniti yang lebih erat.
DIMENSI BAHARU KEHIDUPAN HIJAU
Dengan inspirasi daripada sinaran matahari yang menyelinap di celah pepohon, Sovana dirancang dengan pendekatan yang menghubungkan kediaman dengan alam semula jadi
secara harmoni.
Konsepnya bukan sekadar menawarkan ruang untuk didiami, sebaliknya mengetengahkan gaya hidup yang lebih tenang, dekat dengan alam dan diperkayakan dengan detik kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Bukan sekadar memberi ruang kediaman yang selesa, Sovana turut menawarkan suasana kejiranan yang lebih intim dan mendamaikan. Dalam persekitaran berkepadatan rendah serta
mengutamakan privasi, Suria Park yang berdekatan dengan kediaman menjadi ruang untuk mencipta kenangan yang manis, menikmati udara pagi sambil berjalan di bawah teduhan pepohon hinggalah menyaksikan anak-anak mengayuh basikal buat kali pertama.
Pertemuan santai bersama jiran dan waktu petang yang diluangkan di luar rumah pula melengkapkan kehidupan komuniti yang lebih mesra dan bermakna.
Melengkapi persekitaran kediaman itu, Sovana turut menyediakan gelanggang serbaguna dan ruang taman khusus sebagai ruang interaksi serta rekreasi penghuni. Kemudahan berkenaan
menawarkan pilihan untuk menjalankan aktiviti sukan, bersantai dan meluangkan masa bersama, sekali gus memperkukuh elemen kehidupan bermasyarakat dalam kawasan
pembangunan.
Mengambil kira perubahan keperluan keluarga merentas generasi, setiap kediaman Sovana dirancang dengan susun atur ruang terbuka yang memberikan pergerakan lebih lancar serta memberikan fleksibiliti dalam penggunaan ruang. Aspek kebolehgunaan jangka panjang turut
diterjemahkan menerusi penyediaan halaman belakang berukuran 5 kaki x 20 kaki bagi setiap unit.
Halaman ini boleh dimanfaatkan sebagai peluasan ruang kediaman, pembinaan sambungan tambahan atau taman persendirian. Ruang ini turut menawarkan kawasan santai untuk keluarga menikmati masa bersama dalam suasana yang peribadi.
Secara keseluruhannya, Sovana direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden dengan mengutamakan keselesaan dan fungsi, di samping mengambil kira keperluan masa hadapan melalui penyediaan titik pengasing bekalan elektrik (EV isolator points) bagi memudahkan
pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV).
BERSEBELAHAN SURIA PARK, NADI SOSIAL DAN KEHIJAUAN
Kedudukan Sovana yang bersebelahan Suria Park menjadi antara keistimewaan utama Sovana, sekali gus memberi penghuni akses mudah kepada taman landskap seluas 4.42 ekar yang dibangunkan dengan nilai pelaburan RM3 juta. Lebih daripada sekadar kawasan hijau, taman itu menjadi sebahagian daripada visi Suria Hill untuk mewujudkan persekitaran kediaman yang mengutamakan kesejahteraan dan kehidupan komuniti.
Direka sebagai ruang rekreasi untuk semua peringkat usia, Suria Park dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk laluan joging dan pendakian, gelanggang serbaguna, taman
permainan kanak-kanak, taman papan selaju, stesen kecergasan luar serta gazebo.
Laluan mesra akses tanpa halangan turut disediakan, disokong papan tanda pandu arah yang jelas dan laluan bercahaya terang bagi menyokong penggunaan yang selamat dan inklusif oleh penduduk dan pengunjung.
Kemudahan ini menggalakkan pergerakan, interaksi dan hubungan harian antara penduduk dan pengunjung. Bagi keluarga yang menganggap haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada kehidupan, Meow Ria Park di Suria Park menawarkan ruang khusus untuk pengunjung dan kucing peliharaan mereka berinteraksi, bermain dan menikmati pelbagai aktiviti mesra haiwan.
Inisiatif ini mencerminkan usaha IJM Land dalam menyokong perkembangan gaya hidup mesra haiwan peliharaan, di samping memperkukuh komitmen syarikat untuk membangunkan komuniti yang dinamik, berteraskan kekeluargaan serta meraikan kepelbagaian keperluan gaya hidup.






































