Klanggroup Development Sdn Bhd (Klanggroup) telah menyerahkan milikan kosong (“VP”) pada September 2026 bagi dua pembangunan di Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan kira-kira RM1.74 bilion.
Pencapaian ini melibatkan dua projek Excellent Technology Park (“ETP”) yang telah habis dijual, iaitu ETP @ KIIP Kapar (Fasa 1) dan ETP @ KIIP Jenjarom.
Pengarah Eksekutif Klanggroup Development Sdn Bhd, Danny Ong berkata, kedua-dua projek perindustrian ini telah habis dijual dan lebih separuh daripada unit telah mula beroperasi tidak lama selepas penyerahan.
“Ini menunjukkan bahawa para pembeli memperoleh kilang-kilang ini untuk kegunaan operasi perniagaan mereka, selaras dengan matlamat kami untuk membangunkan ruang yang praktikal, dilengkapi spesifikasi yang sesuai serta terletak di lokasi yang dapat memenuhi keperluan operasi pembeli.
“Penyerahan milikan kosong merupakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan sesebuah pembangunan, namun tanggungjawab kami tidak terhenti selepas penyerahan.
Seiring dengan perkembangan perniagaan dan rantaian bekalan, syarikat memerlukan ruang perindustrian yang mampu menyokong operasi mereka untuk jangka panjang. Kami akan terus membangunkan kilang di lokasi strategik yang memenuhi keperluan praktikal ini serta menyumbang kepada pertumbuhan kawasan perindustrian di Selangor,” katanya.
ETP @ KIIP Kapar merupakan pembangunan pegangan bebas seluas 104.84 ekar dengan GDV RM1.005 bilion. Fasa 1 merangkumi 170 unit kilang berkembar dan kilang berkembar
berkelompok. Terletak secara strategik di Kapar, Selangor, pembangunan ini mempunyai akses mudah melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
ETP @ KIIP Jenjarom pula mempunyai GDV RM733 juta dan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 128 ekar. Pembangunan ini merangkumi 162 unit kilang berkembar dan kilang berkembar berkelompok, serta 28 lot tanah perindustrian. Terletak secara strategik di Jenjarom, Selangor, pembangunan ini mempunyai akses ke Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Kedua-dua pembangunan menyediakan ciri-ciri yang direka untuk menyokong pelbagai operasi perindustrian, termasuk bekalan kuasa 400 ampere, kapasiti beban lantai tiga tan bagi setiap meter persegi, ketinggian cucur atap 40 kaki serta laluan masuk konkrit. Perniagaan yang beroperasi di kedua-dua pembangunan ini merangkumi sektor seperti logistik, e-dagang, produk automotif, perabot dan bahan binaan.
Penyerahan ini berlangsung ketika Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia memberi penekanan kepada pengukuhan kluster perindustrian bagi pembangunan
wilayah. Tumpuan Klanggroup terhadap penyediaan ruang kilang dan ketersambungan mencerminkan keperluan praktikal perniagaan yang beroperasi di kawasan perindustrian
tersebut.
Dengan kedua-dua projek telah habis dijual, aktiviti perniagaan semakin berkembang selepas penyerahan. Setakat September 2026, sebanyak 82 unit di ETP @ KIIP Kapar (Fasa 1) telah direkodkan sebagai diduduki, manakala ETP @ KIIP Jenjarom merekodkan 113 unit kilang dan 28 lot tanah perindustrian yang telah diserahkan.





































