Volvo Car Malaysia secara rasminya telah membuka pusat 2S baharu di Kuching, Sarawak, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan lagi rangkaian Volvo ini di Malaysia Timur.

Dikendalikan oleh Sebangga Group, fasiliti baharu ini mengambil alih ruang automotif yang sudah cukup sinonim di Jalan Pending – memastikan pemilik Volvo di sana terus menerima perkhidmatan selepas jualan yang lancar dan premium tanpa sebarang gangguan.

Buat masa ini, Volvo Car Kuching memfokuskan sepenuhnya kepada penawaran servis selepas jualan dan alat ganti. Walau bagaimanapun, pihak Sebangga Mitsinbo sudah pun merancang untuk menaik taraf fasiliti ini menjadi sebuah pusat jualan kenderaan rasmi.

Sementara itu, pelanggan yang berminat untuk membeli model baharu Volvo masih boleh membuat pesanan melalui cawangan Sebangga Mitsinbo sedia ada di Kota Kinabalu.

Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia & Thailand, Chris Wailes berkata, hubungan dengan para pelanggan sangat penting dan komited untuk memastikan rangkaian pusat servis sentiasa kukuh dan mudah diakses—dan tidak lama lagi, dilengkapi dengan pusat jualan sepenuhnya di seluruh Malaysia.

“Membawa masuk Sebangga Mitsinbo ke Kuching memastikan pemilik kenderaan kami di Sarawak mendapat penjagaan terbaik tanpa kompromi, lantas menjadikan pusat ini sebagai salah satu tonggak utama dalam rangkaian nasional kami,” katanya.

Pengerusi Sebangga Group, Dato’ Arif Ambrose Ng berkata, pihaknya berbangga dapat memperkukuhkan lagi kerjasama bersama Volvo Car Malaysia dan akhirnya melebarkan sayap Sebangga ke Sarawak.

“Kehadiran kami di sini membolehkan kami untuk terus menyantuni komuniti pemilik Volvo tempatan. Kami kini memberikan tumpuan penuh untuk menawarkan servis bertaraf tinggi, namun dalam masa yang sama, kami sangat teruja untuk mengubah ruang ini menjadi destinasi jualan yang lengkap pada masa hadapan.”

Pembukaan pusat 2S baharu di Kuching ini juga hadir pada waktu yang cukup mengujakan buat jenama ini, seiring dengan pelancaran berganda Volvo Car Malaysia baru-baru ini yang membabitkan evolusi EX90 dan EX30 Cross Country.

Bagi pasaran Sarawak, EX30 Cross Country sememangnya satu pilihan yang sangat sesuai. Ia menampilkan persediaan dwi-motor pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan 428 kuasa kuda (hp) dan tork 543 Nm serta kelegaan tanah yang lebih tinggi dalam sebuah pakej kompak bergaya lasak.

Ini menjadikannya jentera yang ideal untuk laluan pengembaraan mencabar, sambil mengekalkan teras keselamatan dan prinsip rekaan Scandinavia Volvo.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini