Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris berjaya menganjurkan Program KITA (Kebersamaan, Ikatan, Toleransi dan Aspirasi) FSKIK di ruang teduhan Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSKIK, Dr. Mohd Fauzi Harun berkata, program seumpama itu mampu memperkukuh rasa kekitaan antara staf dan pelajar selain meningkatkan kesejahteraan serta motivasi warga fakulti.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama warga FSKIK, malah menyemarakkan semangat kerja berpasukan dan keharmonian dalam komuniti fakulti,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan mewujudkan suasana interaksi yang lebih terbuka, harmoni dan inklusif dalam kalangan pelajar selaras dengan nilai yang diketengahkan menerusi konsep KITA.
“Pelbagai aktiviti santai berteraskan komuniti diadakan sepanjang program termasuk rewang bersama, sesi pertemuan bersama penasihat akademik serta potluck yang menghimpunkan warga fakulti dalam suasana mesra dan penuh keakraban.
“Penganjuran program tersebut juga seiring aspirasi universiti yang menekankan Jiwa Kekeluargaan sebagai teras pembentukan komuniti kampus yang saling menghormati serta menyokong antara satu sama lain.
“Program ini menjadi platform kepada pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pensyarah dan penasihat akademik dalam suasana tidak formal, sekali gus memperkukuh sokongan akademik serta kebajikan pelajar,” katanya.
Program berkenaan merupakan hasil kerjasama empat persatuan dan kelab pelajar di bawah FSKIK iaitu Persatuan Integrasi Media (PIM), Persatuan Seni Visual (PERSENI), Kelab Reka Bentuk dan Warisan (KEREBEWA) dan Rakan ArtTrade dalam usaha memperkukuh hubungan antara warga fakulti.
“Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan menyumbang kepada pembinaan komuniti pelajar yang lebih bersatu, seimbang dan beraspirasi tinggi selaras dengan budaya Jiwa Kekeluargaan UPSI,” katanya.





































