Perodua telah memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion untuk perbelanjaan modal (CAPEX) tahun ini, dengan sebahagian besar pelaburannya dikhaskan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti tera (stamping) serta pembangunan model baharu dan perkakasan.

“Jumlah RM1.6 bilion itu adalah lebih sekali ganda CAPEX syarikat pada tahun 2024 iaitu
RM797.5 juta kerana kami mahu menumpukan kepada pelaburan semula keupayaan kami.

“Pelaburan ini akan menyatukan kapasiti pengeluaran, termasuklah di peringkat pembekal, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti di samping mengukuhkan perancangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk kami serta keupayaan pembangunan model baharu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, Perodua telah melepasi kapasiti pengeluarannya dengan 368,100 kenderaan dikeluarkan pada 2024, melebihi kapasiti sebanyak 320,000 untuk kedua-dua kilangnya.

“Rekod 368,100 unit itu dicapai dengan meminimumkan masa henti (downtime), mengikuti jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal dan pengedar kami serta tangkas dalam menangani cabaran,” katanya.

Beliau berkata, tahun 2025 akan menjadi batu loncatan kepada masa depan Perodua
dengan penekanan terhadap kemandirian syarikat itu dari segi keupayaan pengeluaran,
terutamanya dalam membangunkan produk di masa akan datang.

Zainal berkata, Perodua kini sedang mempercepatkan keupayaan kakitangannya
untuk mencapai kemandirian yang lebih tinggi, bagaimanapun, langkah itu akan
menghasilkan jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih rendah tahun ini.

“Bagi tahun 2025, kami menjangka jumlah pengeluaran kami merosot sebanyak 4.9%
kepada 350,000 unit daripada 368,100 unit yang dicatatkan pada tahun 2024. Pengurangan ini juga akan menyaksikan jumlah pendaftaran berkurang sebanyak 3.7% kepada 345,000 unit daripada 358,102 unit tahun lalu.

“Walau bagaimanapun, permintaan terhadap kenderaan kami kekal sihat dengan tempahan tertunggak semasa kini mencecah 68,000 unit, yang mana 28,000 tempahan mempunyai surat aku janji yang dikeluarkan tanpa stok,” katanya.

Beliau berkata, Perodua akan terus mengutamakan penghantaran kenderaannya dan dalam masa yang sama mengekalkan standard keselamatan dan kualiti terjaga.

Mengulas mengenai perniagaan selepas jualan Perodua, Zainal berkata, syarikat kereta kompak itu menyasar untuk meningkatkan jumlah penyelenggaraan kenderaan tahun
ini kepada 3.7 juta, naik 7.6% daripada 3.4 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Katanya, Perodua juga akan terus menyokong ekosistem automotif negara dengan pembelian komponen tempatan yang diangggarkan berjumlah RM10.8 bilion daripada pembekal di negara ini.

“Selain itu, kami juga bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan
pembekal dan pengedar kami agar mereka boleh kekal bersaing secara kompetitif dalam
industri.

“Ini termasuklah dengan terus meneroka potensi Industri 4.0 dalam memaksimumkan
keupayaan dalam operasi mereka, mengendalikan latihan dan menyediakan bantuan lain
bagi pertumbuhan yang lestari,” katanya.

“Tahun 2025 ini akan menjadi tahun yang mengujakan buat Perodua kerana kami sedang mempersiapkan syarikat dan rakan strategiknya untuk sebarang perubahan yang bakal berlaku.

“Kami percaya apabila perubahan ini sudah lengkap, kami mampu mengukuhkan
kedudukan kami di negara ini serta rantau ini,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini