Perjalanan dalam cuaca panas kering dan berdebu tidak mematahkan semangat anggota NGO Antarabangsa membantu masyarakat Islam yang miskin terdiri daripada orang tua, ibu tunggal dan anak anak yatim sempena bulan Ramadan yang mulia ini.
Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung UMT, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pihaknya memberi sumbangan kepada hampir 100 keluarga miskin di Daerah Snowl menghala ke Sempadan Vietnam di sebelah Utara.
“Kawasan ini mempunyai penduduk Islam hampir 5,000 orang dibeberapa kampung dan kebanyakan mereka adalah petani serta mengambil upah sebagai penoreh getah.

“Rata-rata mereka masih miskin dan ini adalah fokus utama kami yang memang bergerak di kawasan pedalaman yang jarang dimasukan NGO lain. Kami bekerjasama dengan penduduk tempatan, ketua kampung dan imam masjid bagi memudahkan urusan pengagihan bantuan,” katanya.
Justeru, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membantu masyarakat muslim di negara ini untuk menghulurkan bantuan menerusi NGO Antarabangsa yang sudah bergerak aktif sejak bertahun-tahun lamanya.
Mustapha berkata, era paling mencabar adalah pandemik Covid-19 dimana kesukaran untuk bergerak, memberi agihan peruntukan bantuan dan wabak penyakit di semua tempat serta bantuan juga amat berkurangan dari penderma.






































