Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata umat Islam Kemboja yang juga penduduk minoriti di negara itu perlu dibantu bagi memperkasakan pendidikan Islam.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, masjid dan surau perlu dibaiki daripada segi kerosakan seperti atap, bilik air, tempat mengambil wuduk dan sebagainya.

“Kami berharap dermawan Malaysia yang ingin membantu penduduk Islam di Kemboja boleh terus membantu menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang selesa ketika menunaikan ibadah,” katanya selepas melawat sekolah agama yang memerlukan bantuan pelajar miskin dan anak yatim di Phnom Penh dan Kampung Steam Treng di Kemboja.
Selain itu, Mustapha turut mencadangkan kewujudan koperasi bagi usahawan muslim bagi memperkasakan perniagaan kecil dan sederhana supaya mereka dapat memulihkan pendapatan selepas era pandemic Covid-19.

Beliau juga berharap perpaduan diantara penduduk kampung yang berlainan bangsa dan agama dapat dikekalkan sebagaimana diterapkan dalam ajaran agama Islam dengan mencontohi akhlak Nabi Muhammad Rasullah SAW.
“Barulah mereka yang bukan Islam melihat Agama Islam begitu sempurna dalam pelbagai perkara,” katanya yang turut mengadakan pertemuan dengan Ustaz Zaki seorang pendakwah dan guru agama yang disegani di kampung itu.



































