Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato Dr Mustapha Ahmad Marican yang juga Pengerusi MCPF Negeri Terengganu mengadakan Ceramah Integriti bagi Pegawai dan kakitangan Yayasan Terengganu semalam.

Ceramah Bicara Santai bersama tokoh berkaitan integriti anjuran Unit Integriti Yayasan Terengganu dihadiri 120 pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan dibawah yayasan.

Mustapha berkata, soal integriti berkait rapat dengan kehidupan seharian dan setiap daripada kita perlu merenung diri dengan melihat keliling, diri sendiri, keluarga dan mengajar anak-anak menerusi pendekatan agama, adap sopan serta budi bicara.

“Dalam pekerjaan kita ada tanggungjawab yang diamanahkan dan buatlah kerja dengan jujur serta ikhlas kerana sifat-sifat terpuji harus ditanamkan dalam jiwa supaya ada kekuatan dalam diri menghadapi cabaran-cabaran tertentu termasuk rasuah.

“Jangan sesekali terjebak kerana kes dan petunjuk mereka yang terbabit dalam salahlaku dan salah guna kuasa boleh jatuh akhirnya walaupun kita sudah bersara.

“Jadi ingatlah bahawa Allah maha besar dan sebarang bentuk pendapatan yang tidak sah daripada segi agamapun adalah haram apa lagi undang-undang boleh diambil tindakan tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar setiap orang melaksanakan kerja terbaik dengan niat kerana Alllah swt walaupun kadang kala terdetik dalam hati perasaan tidak puas hati.

“Ingatlah banyak kes yang terjadi membabitkan mereka yang tersasar. Mungkin di dunia mereka terlepas tetapi tidak di akhirat. Namun akhirnya mungkin orang ramai akan bercakap mengenai keburukan kita atau perkara mengaibkan setelah kita sudah tiada.

“Akhirnya yang akan menanggung malu adalah keluarga, anak dan isteri. Banyak kisah-kisah saya sepanjang dalam perkhidmatan sama ada kerajaan, tentera dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

“Semua ini mematangkan diri saya untuk terus menyumbang bakti dengan berkongsi pengalaman kepada orang ramai,” katanya lagi.