Loji janakuasa 1,200 megawatt (MW) Pulau Indah akan menampilkan dua turbin gas 9HA.01 GE

GE telah mengumumkan bahawa ia telah mendapat sebuah pesanan daripada konsortium kejuruteraan, perolehan, dan pembinaan (EPC) – Posco Engineering & Construction Co. Ltd. (POSCO), Mitsubishi Corporation dan PEC Powercon Sdn. Bhd. – untuk membekalkan peralatan penjanaan kuasa untuk Loji Janakuasa 1,200 megawatt (MW) Pulau Indah di Selangor, Malaysia.

Loji tersebut akan dikuasakan oleh teknologi sangat efisien HA GE dan ia akan terdiri daripada dua blok loji kuasa kitar tergabung, yang menampilkan konfigurasi keseluruhan loji yang modular dan menjimatkan kos untuk dipasang, dikawal dan disenggara.

Tambahan pula, untuk projek Loji Janakuasa Pulau Indah, GE akan membekalkan pelbagai perkhidmatan penyelesaian penuh untuk selama 21 tahun.

Untuk Loji Janakuasa Pulau Indah, GE akan membekalkan dua blok 600 MW, di mana setiap blok termasuk sebuah turbin gas 9HA.01 GE, sebuah turbin stim STF-D650, sebuah penjana W88 dan sebuah Penjana Wap Pemulihan Haba Sekali Lalu (Once Through Heat Recovery Steam Generator – OT HRSG).

Teknologi OT HRSG GE merupakan penggerak utama dalam kitaran wap air maju yang memberikan kecekapan kitaran gabungan yang lebih tinggi, manakala 9HA GE merupakan keluaran unggul syarikat tersebut dan turbin gas 50 Hz yang paling efisien.

Loji Janakuasa Pulau Indah yang dikuasakan oleh gas asli disasarkan untuk mencapai operasi komersial pada tahun 2024.

“Malaysia, terutamanya di negeri Selangor, telah melihat pembangunan ekonomi secara besar-besaran, pembandaran dan pertumbuhan penduduk dalam tiga dekad terakhir, yang menjadi pemacu utama permintaan tenaga yang meningkat, walaupun disertai dengan peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

Ia sangat penting bagi kami untuk memilih teknologi yang sangat efisien, seperti 9HA.01 GE, untuk bantu mengurangkan jumlah bahan bakar yang digunakan untuk menjana elektrik, dan bekerjasama dengan GE untuk membekalkan perkhidmatan, dan peningkatan prestasi yang menjimatkan pada peralatan penjanaan kuasa akan membantu kami mencapai matlamat kami,” kata Datin Paduka Norazlina Zakaria, Pengarah Eksekutif Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. (PIPP).

Dalam usaha untuk mengurangkan gas rumah hijau seperti yang digariskan dalam Sumbangan Ditentukan Negara Seperti Yang Dihasratkan (INDC), Malaysia ingin mencapai sasaran pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 45% pada tahun 2030 di seluruh industri utama termasuk penjanaan kuasa.

Ramesh Singaram, President and CEO of GE Gas Power Asia

“Kami amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada projek menarik ini. Kami membawa lebih daripada 80 tahun pengalaman pengeluaran peralatan loji janakuasa gas ke projek Loji Janakuasa Pulau Indah,” kata Ramesh Singaram, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GE Gas Power Asia.

“Untuk Loji Janakuasa Pulau Indah, kami mencari peralatan di seluruh industri yang memenuhi standard ketat termasuk teknologi yang terbukti, prestasi loji, pemeliharaan, fleksibiliti operasi, kesan persekitaran, ‘jejak ekologi’, kos kitaran hayat dan banyak lagi, dan kami memilih teknologi loji kitaran gabungan GE,” kata Dae-Gyun Kim, Pengarah Projek POSCO.

Untuk projek tersebut, GE telah menandatangani sebuah perjanjian perkhidmatan selama 21 tahun dengan PIPP, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang diketuai oleh dua pemegang saham terkemuka – Worldwide Holdings Berhad dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO).

Worldwide Holdings Berhad merupakan syarikat berkaitan Negeri Selangor yang memegang 75% daripada saham PIPP, manakala, KEPCO, syarikat elektrik utiliti terbesar di Korea Selatan, memegang baki saham sebanyak 25%.

Selain daripada itu, data yang dikumpul dari sensor di seluruh fasiliti akan dipantau dan dianalisis 24/7 di Pusat Pemantauan & Diagnostik (M&D) GE di Atlanta, GA, Amerika Syarikat.