Affin Bank Berhad (AFFINBANK) telah mencipta rekod di dalam The Malaysia Book of Records untuk membangunkan “Aplikasi Mudah Alih Pembangunan Komuniti PKS” yang pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Kamarul Ariffin Mohd Jamil menerima peingiktirafan tersebut daripada Pengurus Besar The Malaysia Book of Records, Edward Sin di sebuah majlis di Menara Affin, Kuala Lumpur.

Ini merupakan pengiktirafan yang ketiga bagi aplikasi mudah alih SMEColony AFFINBANK selepas menerima pengiktirafan “Inisiatif Perbankan PKS Terbaik untuk Start-up (Malaysia)” oleh Anugerah International Finance pada September 2019 dan pengiktirafan kategori teknologi mudah alih dalam industri Perbankan di majlis “Malaysia Technology Excellence Awards 2019” pada Disember 2019.
”SMEColony ialah aplikasi mudah alih pertama yang dibangunkan untuk pembangunan komuniti PKS di Malaysia dengan matlamat untuk memenuhi keperluan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Inisiatif ini menghubungkan ahli-ahli PKS, rakan niaga dan AFFINBANK dan mewujudkan
sinergi perniagaan di kalangan ahli-ahli PKS dalam ekosistem digital”, katanya.
Aplikasi mudah alih ini merupakan saluran digital untuk PKS mengakses sumber dan penyelesaian perniagaan komprehensif dengan cepat, yang merupakan keperluan utama bagi ahli-ahli PKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Kamarul menambah, ”Ahli-ahli PKS ini dapat menikmati manfaat dengan aplikasi mudah alih berkenaan menerusi sumber informasi, penyelesaian berasaskan pasaran serta memberi peluang jaringan di antara kira-kira 50 rakan strategik untuk membolehkan PKS mencari penyelesaian yang tepat bagi keperluan perniagaan mereka”.



































