Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md Silmi Abd Rahman telah melawat dan menghadiri sesi perkongsian di D-Virtual Park, taman tema realiti maya pertama dengan teknologi hologram di Malaysia termasuk pusat inkubator berkonsep digital untuk pemula niaga, di Kota Samarahan, Sarawak.
Turut hadir pada sesi tersebut adalah Pengarah Serba Dinamik Holdings Berhad, Datuk Abdul Kadier Sahib dan Prof. Ir. Dr. Al-Khalid Othman, Timbalan Ketua Saintis Sarawak Multimedia Authority (SMA).
D-Virtual Park merupakan usahasama antara Serba Dinamik Holdings Bhd dengan hab
pemula niaga dari Sarawak, Startup Borneo yang akan mewujudkan akses dan
menyediakan perangkaian besar bagi pemula niaga dalam segmen teknologi digital
seterusnya memperkasa ekonomi belia di Sarawak.
Sebagai permulaan, D-Virtual Park mampu memberi manfaat kepada pelajar-pelajar
Universiti berdekatan iaitu dari UITM Sarawak Kampus Samarahan, Universiti Malaysia
Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak yang mempunyai
populasi lebih dari 20,000 pelajar. Oleh yang demikian, D-Virtual Park mempunyai
potensi besar untuk berkembang dan mampu memberi dorongan kepada ramai pelajar di
peringkat Universiti untuk menjadi usahawan ketika belajar menerusi platform ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Md
Silmi Abd Rahman, idea D-Virtual Park tersebut sejajar dengan komitmen kerajaan untuk
memacu pertumbuhan ekonomi menerusi transformasi digital dan menjadikan Malaysia
sebagai hab Industri 4.0 di rantau Asia Tenggara.
Dalam bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), TERAJU sedang berusaha untuk mewujudkan peluang dalam sektor teknologi tinggi, bernilai tinggi dan yang memberi kesan seperti teknologi mampan, digital, aeroangkasa, teknologi dan trend seperti Internet Perkara (IoT), robotik, realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam memperkasa dan membuka peluang kepada golongan belia untuk melibatkan diri
dalam ekonomi digital, TERAJU juga telah mewujudkan program Skim Permulaan
Usahawan Bumiputera (SUPERB) pada tahun 2014 yang bertujuan mengenal pasti
pemula niaga Bumiputera muda yang kompetitif dengan idea atau produk inovatif.
Untuk SUPERB 2019, enam tema telah dipilih iaitu ekonomi digital, Revolusi Industri 4.0
(IR4.0), perusahaan industri dan perkongsian ekonomi, kreatif, industri seni dan kesihatan, inovasi makanan serta perniagaan tani dan berasaskan tani. Pemenang SUPERB 2019 seramai 26 orang, akan menerima geran perniagaan bernilai sehingga RM500,000 untuk membangunkan idea perniagaan mereka.
Manakala di bawah program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak pula, TERAJU telah memperuntukkan sejumlah dana untuk pembangunan projek komuniti bagi golongan B40 yang berasaskan inovasi dengan usahasama bersama Universiti dan Agensi Kerajaan Tempatan di Sarawak dengan objektif untuk meningkatkan pendapatan komunti sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Pada kesempatan ini, beliau juga turut mengadakan sesi lawatan kerja ke tapak salah satu projek di bawah program Dana Mudahcara (Facilitation Fund) TERAJU, iaitu projek pembangunan Hotel Serapi, sebuah hotel butik 49 bilik yang terletak di antara Jalan Kulas dan Jalan Haji Taha, Kuching Sarawak.
Dengan bantuan Dana Mudahcara dan siapnya projek ini, Hotel Serapi mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada 13 orang Bumiputera tempatan dan juga membantu memasarkan produk tempatan yang dihasilkan oleh usahawan mikro di kawasan berdekatan di lobi hotel tersebut.