TM ONE, unit rumusan perniagaan bagi Telekom Malaysia Berhad (TM), bersama E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS), anak syarikat milik penuh PETRONAS Carigali Sdn Bhd baru-baru ini menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi menjalinkan perkongsian strategik untuk mendigitalisasikan penyelesaian Operasi & Penyelenggaraan (O&M) bagi pihak EPOMS.
Kerjasama ini termasuklah pelantikan TM ONE sebagai salah satu rakan teknologi rasmi EPOMS dalam menyediakan rumusan digital yang holistik untuk mewujudkan tenaga kerja dan pengurusan data yang lebih terhubung.

Usahasama ini bertujuan untuk mempertingkatkan dan memperkasakan pendigitalan O&M, satu langkah ke arah menjadikan industri minyak dan gas lebih produktif, tangkas dan bersedia untuk masa hadapan.
Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Anuar Abd Rahman sementara TM ONE telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Ts. Azizi A. Hadi.
Turut hadir ialah Mohd Jukris Abdul Wahab, Naib Presiden, Aset Antarabangsa, PETRONAS Huluan yang juga merupakan Pengerusi EPOMS dan Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Operasi TM.
Anuar berkata: “EPOMS sedang melalui perubahan daripada pembekal perkhidmatan (O&M) konvensional kepada rakan penyelesaian yang efektif berlandaskan konsep ‘Menyediakan Nilai Sebenar’ kepada para pelanggan kami.
Oleh itu, ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi TM melalui TM ONE untuk bekerjasama dengan kami dalam sebuah projek yang memfokus terhadap pendigitalan.”
“Kerjasama digital yang terjalin ini dapat memberi EPOMS teknologi dan sumber-sumber yang diperlukan untuk memacu sistem pengurusan pangkalan data bersepadu kami yang sedia ada, iaitu MyEPOMSx, dalam perkembangan dan ketersediaan digitalnya,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Imri berkata: “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan strategik dalam mewujudkan ekosistem ketersediaan perniagaan-digital EPOMS.
“Melalui ketersedian digital dan inisiatif kerjasama ini, kami percaya EPOMS akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan dalam kecemerlangan operasi. Ini juga merupakan satu peluang untuk kami mengetengahkan asset-aset digital dan cara TM ONE memacu IR4.0 dengan menyediakan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.
Kerjasama TM bersama EPOMS adalah berdasarkan tiga inisiatif digital iaitu Topi Keselamatan Pintar, Tenaga kerja Terhubung dan penyelesaian Penyelenggaraan Jangkaan. TM ONE akan menyediakan sambungan yang menyeluruh, pengurusan data, perkhidmatan awan dan juga penyelesaian yang diubahsuai bagi perkara-perkara penting dari sudut integriti aset dan kebolehpercayaan aset.
Melalui kerjasama ini, TM ONE akan membantu dalam ketersediaan sistem digital EPOMS dan memberikan penyelesaian teknikal untuk menjadikan EPOMS lebih berdaya saing. TM sentiasa menjadi penggerak bagi industri Minyak & Gas sejak 2007 melalui rangkaian sambungan sedia ada yang meluas.
Sehingga kini, platform luar pantai di Laut China Selatan dihubungkan dengan perkhidmatan Rangkaian Luar Pesisiran Berkelajuan Tinggi (HSON) melalui kabel dasar laut fiber optik TM ONE.
Sambungan berkelajuan tinggi ini akan membolehkan operasi dan kerja penyelenggaraan dilakukan pada masa nyata serta penggunaan aplikasi canggih seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan analitik ramalan.






































