Tiga perkara utama yang menjadi tumpuan sebaik melihat model Mercedes-AMG GLC 63S 4Matic ini. Baca lebih lanjut sesi pandu uji model SUV saiz pertengahan buatan Jerman ini.
TIGA perkara utama yang menjadi tumpuan Prebiu.com kepada model kenderaan sukan utiliti (SUV) ini ialah rekabentuknya yang cukup maskulin, deruman enjin 4.0 liter V8 Bi turbo dan ruang dalaman yang cukup sporty.

Sejujurnya, penulis sendiri teruja apabila melihat rekaan luarannya dengan saiz rim 21 inci berwarna hitam yang cukup besar dilengkapi brek kaliper merah tertera tulisan AMG.
Mercedes-AMG GLC 63S 4Matic yang diperkenal ke pasaran tempatan hujung tahun lalu menawarkan pemanduan cukup bertenaga kerana ditala unit prestasi AMG yang memberi kepuasan kepada pemanduan sama ada meredah lebuh raya atau memandu setiap hari ke tempat kerja.
Model ini yang datang daripada keluarga GLC mendapat talaan AMG sepenuhnya dengan rekaan luaran badannya dipasangkan dengan kit badan AMG khususnya, gril hadapan Panamericana adalah yang pertama dipasang untuk model itu selain daripada AMG GT.

Rekaan itu bukan sahaja menambahkan gaya sporty malah menerima suntikan daripada teknologi perlumbaan untuk sistem sejukan enjin lebih efisien terutama pada kelajuan tinggi.
‘Arch Wheels’ lebih lebar pada bahagian hadapan dan belakang, ‘Apron’ luas diinspirasikan daripada sayap jet dan splitter hadapan besar antara ciri utama yang membezakan ia dengan siri standard.
Rekaan luaran menjadi semakin teruja apabila dipadankan dengan sistem ekzos AMG berkembar yang boleh ditala bunyinya untuk lebih ‘garang’ menerusi satu butang yang boleh ditekan ditengah-tengah panel konsol.

Selain dilengkapi rim aloi tertera logo AMG, brek komposit, lampu hadapan dan belakang LED akan membuatkan sesiapa sahaja menoleh sebaik sahaja kereta ini melintasi jalan raya.
Melangkah ke ruang dalaman serba mewah, Mercedes-AMG GLC 63 S ini dilengkapi akesori penuh AMG terutama pada roda stereng keluli Dinamica serta papan pemuka dan ‘beltlines’ daripada kulit buatan dan kemasan kulit Nappa untuk sentuhan premium serta mewah.
Bahagian tempat duduknya warna merah dengan gaya ‘bucket’ dan padanan tali pinggang keledar merah diimbangi kemasan aluminium dan gentian karbon pada bahagian konsol serta sisi pintu ciri sporty tertera jelas logo AMG menyerlahkan lagi ciri premium dan eksklusif.

Tidak cukup itu, panel sisi pintu hadapan dihiasi pencahayaan LED, kerusi hadapan larasan elektrik dengan empat larasan sokongan lumbar, pemanas kerusi serta penyaman udara Thermotronic automatik untuk penumpang hadapan dan belakang menjanjikan keselesaan sepanjang perjalanan.
Sistem hiburan dan multimedia cukup terbaik dengan sistem bunyi keliling jenama premium Burmester berjaya menghasilkan akustik berkualiti dengan ciri pemain DVD dan skrin sesentuh berwarna resolusi tinggi bersaiz 8.4 inci.
Kesemua tetapan dan fungsi canggih kereta ini boleh dikawal sepenuhnya menggunakan butang kawalan pada stereng mahupun Touchpad pada konsul tengah. Paparan skrin sesentuh membolehkan penumpang hadapan memilih mana-mana ketetapan yang dikehendaki.

Paparan kamera undur dan parkir 360 darjah, memudahkan urusan meletakkan kenderaan dilakukan secara automatik manakala Head up Display juga dipasang pada meter kelajuan dan rpm untuk pelbagai maklumat berkaitan kenderaan serta teknikal dipaparkan.
Untuk mendapatkan ruang lebih luas, kerusi belakang boleh dilipat dengan mudah untuk kapasiti ruang but 550 liter ke 1,600 liter melalui butang suis yang terdapat pada bahagian tepi bonet bagi tujuan membawa lebih muatan dengan kawalan pintu automatik.
Bumbung panorama pula menambahkan gaya mewah untuk cahaya memasuki ke dalam ruang kabin sambil menikmati pemandangan langit luas atau melihat bintang pada waktu malam.

Jika sudah namanya AMG, tentu sekali ‘jantung’ digunakan cukup berkuasa dan tidak hairanlah enjin bersesaran 3,982 cc V8 biturbo ini mampu menghamburkan kuasa 510 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm serta tork 700 Nm pada 1,750 hingga 4,500 rpm.
Sebagaimana model Mercedes-Benz lain, Mercedes-AMG GLC 63S 4Matic ini dipadankan dengan transmisi gear 9 kelajuan Speedshift AMG membolehkan ia mencapai dari kelajuan sifar hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh hanya 3.8 saat dengan catatan kelajuan maksimum pengeluar sehingga 270 km/j.
Selain itu, anda boleh memilih jenis mod pemanduan iaitu mod ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Sport Plus’ dan ‘Individual’ serta ‘Race’ untuk kegunaan di litar perlumbaan. Kenderaan ini akan melaraskan sistem enjin dan ketetapan lain mengikut mod pemanduan yang dipilih secara automatik.

Ia memberi perbezaaan ketara daripada segi kuasa dan tork juga redaman sistem suspensi udara bagi kestabilan lebih baik untuk melayan selekoh atau pada kelajuan tinggi dan laluan tidak rata dengan Air Body Control.
Anda juga boleh mengubah ketetapan sistem suspensinya mengikut mod pemanduan sama ada ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Sport Plus’ dan ‘Individual’ serta ‘Race’ menerusi butang pada konsul pemanduannya.
Disebalik kemewahan gaya dan kuasa, SUV ini dilengkapi ciri keselamatan terkini yang membantu ke arah pemanduan selamat seperti Bantuan Jarak Aktif Distronic, Bantuan Brek Aktif, sistem Pra-Keselamatan, Bantuan Titik Buta, 9 beg udara dan banyak lagi ciri keselamatan yang dikawal sepenuhnya oleh sistem pintar komputer.

Selain mantap di jalan raya biasa, model ini juga dilengkapi Pakej Kejuruteraan Off-Road menawarkan keupayaan pemanduan laluan lasak dengan mod Off-Road, Incline, Slippery, Trailer dan Rock Free.
Untuk pasaran Malaysia Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ dijual pada harga RM915,888.00 (atas jalan tanpa insurans) dengan empat tahun waranti pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.
Kesimpulan
Memandu atau memiliki Mercedes-AMG GLC 63 S 4MATIC+ ini adalah satu lambang kemewahan yang dibaluti gaya serba sporty. SUV ini boleh dipandu sama ada sebagai kenderaan harian mahupun pada hujung minggu.
Jika anda tidak kisah dengan ‘perahan’ minyak yang membakar dengan pantas tidak kira apa jua jenis pemanduan, namun apabila memandu SUV ini, anda sebenarnya memiliki satu kepuasan yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata sehinggalah anda sendiri mencubanya sendiri.
Andai kata anda mahukan sebuah SUV buatan Jerman yang memiliki gaya cukup sporty, model ini pasti menjadi pilihan terbaik!
MERCEDES-AMG GLC 63 S 4MATIC+
- Enjin: 3,982 cc V8 biturbo
- Kuasa Maksimum: 510 hp pada 5,500 hingga 6,250 rpm
- Tork Maksimum: 700 Nm pada 1,750 hingga 4,500 rpm
- Tangki Petrol: 65 liter
- Tahap bahan api: 11.9 – 11.6 liter/100 km
- Harga: RM915,888.00 (atas jalan tanpa insurans)











































































