Pemaju hartanah gaya hidup mewah, Eastern & Oriental Berhad (E&O) dan Majestic Gen hari ini mengumumkan pengambilalihan sebidang tanah pegangan bebas perdana di Jalan Kia Peng, yang mencerminkan keyakinan jangka panjang bersama terhadap pasaran kediaman premium di ibu negara.

Pengambilalihan dimuktamadkan oleh KP Urban Sdn Bhd (KP Urban), sebuah syarikat yang ditubuhkan KCB Holdings Sdn Bhd (KCB), anak syarikat milik penuh E&O, dan Golden Urban Nite Sdn Bhd (GUN), syarikat bersekutu Majestic Gen.

Dalam struktur pemilikan KP Urban, KCB menguasai pegangan ekuiti sebanyak 66.67%, manakala baki 33.33 peratus lagi dimiliki GUN. Langkah strategik ini memperkukuhkan simpanan tanah pembangunan premium E&O di Kuala Lumpur, sambil memanfaatkan kekuatan E&O dan Majestic Gen yang saling melengkapi bagi merealisasikan potensi jangka panjang tanah tersebut.

Menerusi urus niaga ini, KP Urban akan menjadi pemilik berdaftar bagi tanah pegangan bebas seluas kira-kira 5,682 meter persegi, dan bertanggungjawab merealisasikan pembangunan ikonik di lokasi berkenaan.

Terletak di salah satu alamat paling berprestij di Kuala Lumpur, dalam lingkungan Jalan Kia Peng dan KLCC, tapak ini menikmati kesalinghubungan dan aksesibiliti yang sangat baik. Berhadapan dengan The RuMa Hotel & Residences dan bersebelahan dengan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ia memberikan akses mudah ke Suria KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur serta menghubungkan laluan pejalan kaki berbumbung.

Nilai lokasinya diperkukuhkan lagi dengan Taman KLCC, Stesen MRT Conlay dan Stesen Monorail Raja Chulan, semuanya berada dalam jarak berjalan kaki. Tanah berkenaan dicadangkan untuk pembangunan kediaman bertingkat tinggi eksklusif yang mengetengahkan gabungan kepakaran E&O dalam membentuk komuniti dan kepakaran pembangunan Majestic Gen dalam mewujudkan sebuah alamat kediaman premium bernilai tinggi di tengah bandar.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini