HONOR Jumaat lalu memperkenalkan peranti terbaharu siri HONOR 600 iaitu barisan peranti mercu terbaharu. Kali terakhir HONOR memperkenalkan siri telefon nombor adalah menerusi Honor 400 pada Mei tahun lalu.
Selepas hampir setahun, kini syarikat itu bakal kembali dengan generasi terbaharu, iaitu siri Honor 600 dan telah mendedahkan secara rasmi reka bentuk telefon tersebut menjelang pelancaran rasmi.
Malaysia dipilih sebagai pasaran pertama dunia untuk pelancaran siri ini dengan tarikh rasmi dijangka diumum dalam masa terdekat. Daripada segi spesifikasi utama, siri HONOR 600 dilengkapi kamera utama 200MP yang menyokong rakaman imej beresolusi tinggi.
Rekaan
Sekali pandang, rekaan peranti ini seakan atau mirip kepada peranti jenama Apple apatah lagi warga jingga yang dikeluarkan hampir sama. Begitu juga bentuk perumah kamera yang memanjang dengan tiga lubang kamera dengan satu lubang kamera berbentuk oval.
Daripada segi reka bentuk, susun atur kamera belakangnya kelihatan sangat menyerupai iPhone 17 Pro dengan menggunakan rekaan plateau.
Persamaan ini lebih ketara pada model 600 Pro yang menampilkan tiga kamera belakang, lengkap dengan susunan lampu flash dan sensor hitam kecil yang sama di bahagian kanan.
Bagaimanapun, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, terdapat perbezaan kecil pada peranti ini sekali gus HONOR 600 Pro masih mempunyai identiti sendiri meskipun perbezaan itu minimum. Ringkasnya, sekilas memang nampak mirip, tetapi sebenarnya tidak sama.
Kamera
Selain itu, sisi yang lebih rata dan kamera yang tersusun kemas pada asasnya memberikan rasa yang lebih praktikal berbanding model sebelumnya yang melengkung.
Sistem telefoto turut dinaik taraf dengan keupayaan sehingga 120x zoom bagi merakam gambar pada jarak jauh. Peranti ini juga menggunakan teknologi penstabilan imej dengan penarafan CIPA 6.5 yang merupakan antara tahap tertinggi dalam industri ketika ini.
Ia bertujuan mengurangkan kesan gegaran dan meningkatkan ketajaman imej terutamanya dalam keadaan pencahayaan rendah atau penggunaan zoom tinggi.
Selain itu, ia juga dilengkapi AI Color Engine untuk memproses imej dengan warna yang lebih natural dan realistik.
Kelas Tersendiri
Meskipun peranti ini diletakkan pada paras harga peranti kelas pertengahan namun apabila dipegang, ia terasa premium dan memberikan pengalaman pengunaan yang berbeza serta memuaskan.
Selain itu, rekabentuk kali ini yang lebih rata bukan sahaja menjadikan peranti ini kelihatan lebih moden khususnya bonggol kamera yang tidak terlalu tinggi.
Berbanding model HONOR 400 Pro, peranti ini dipadankan dengan terdapat tiga butang iaitu butang kuasa, laras audio dan satu lagi butang kamera tambahan.
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak:
- 1x HONOR 600 Pro.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
- Nantikan ulasan penuh HONOR 600 Pro






































