Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris terus mencipta kelainan dalam pendekatan program pendidikan dengan menganjurkan International STEMagika Festival 2026 di Dewan Kolej Ungku Omar.
Program satu hari itu menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan dalam satu platform berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Antara universiti dan institusi yang terlibat ialah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknikal Malaysia Melaka serta Kolej Vokasional Slim River.
Mengangkat tema “Is it Magic? or Just Science?”, festival ini mengetengahkan pendekatan pembelajaran kreatif dan interaktif dengan elemen “magik” untuk menjadikan STEM lebih mudah difahami dan menyeronokkan.
Program yang dianjurkan oleh Kolej Ungku Omar melalui Exco Multimedia, Teknologi dan Inovasi Digital, dengan kerjasama strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Jabatan KIMIA Malaysia dan Majlis Daerah Tanjong Malim, serta mendapat penajaan dan kolaborasi utama daripada Bright Scholar Academy, Al Bayan Global, Sugar Boom dan Nestlé.
Festival ini turut melibatkan rakan-rakan kolaboratif daripada pelbagai universiti dan persatuan termasuk Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, Pusat STEM UPSI, Pusat Pembangunan Akademik UPSI, MySTEM Ambassador UPM, MySTEM Ambassador UniMAP, Applied Science UiTM Tapah, Association of Inventive, Innovative and Creative Thinkers (ASIIC) UTeM, Kelab Rakan Astronomi UPSI, Persatuan Teknologi Kejuruteraan UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Persatuan Sains Pertanian UPSI, Persatuan Teknologi Maklumat UPSI, Persatuan Matematik UPSI, Kolej Vokasional Slim River dan MBOT UNITEN Student Chapter UNITEN.
Menariknya, festival ini turut disokong dan mendapat kerjasama baik dari Universitas Garut Indonesia, University Of Lorraine France dan Enterprise College di London.
Sepanjang festival, pelbagai pengisian menarik telah dilaksanakan. STEMagika Showdown yang menghimpunkan 7 pasukan daripada 6 sekolah menengah sekitar Perak dan Selangor telah melonjak SMKA Slim River sebagai juara, memenangi Persembahan Terbaik dan Pembentang Terbaik, diikuti SMK Felda Besout di tempat kedua dan SMK Methodist Tanjong Malim di tempat ketiga.
Sementara itu, ASIIC Soccer-Bot League (UTeM) mempamerkan kemahiran pengaturcaraan dan kejuruteraan peserta melalui perlawanan robotik interaktif yang mengujakan. STEM Convergence Expo pula menampilkan lebih 15 booth interaktif yang mempamerkan projek inovasi dan teknologi daripada institusi yang terlibat, memberikan pengalaman hands-on kepada pengunjung.
Kemeriahan festival turut diserikan dengan penampilan khas pempengaruh terkenal Amin dan Abid, serta persembahan ahli silap mata Haiqal Helmy, yang berjaya menggabungkan hiburan dan sains secara kreatif.
Menurut Muhammad Hafiz Saffar (Pengarah Program) beliau mengucapkan rasa syukur atas pelaksanaan program ini. Minatnya terhadap magik sejak kecil diterjemahkan ke dalam pentas unggul yang menggabungkan sains dan magik, khususnya apabila beliau berpeluang melaksanakannya setelah bergelar pemimpin pelajar di KUO, tambahnya.
Chm. Dr. Mohd Saufi Rosmi, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman UPSI, dalam ucapan perasmian penutupan, menyifatkan festival ini sebagai titik permulaan baharu bagi mahasiswa dalam menganjurkan program STEM yang berimpak tinggi, lebih kreatif dan menarik.
International STEMagika Festival 2026 yang telah berlangsung memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan. Program ini selaras dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan bakat dan inovasi pelajar, sekali gus mengangkat martabat pendidikan STEM.




































