Perodua menyambut baik penjelasan Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai pendiriannya terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) dan tujuan dasar berkenaan diperkenalkan iaitu untuk menggalakkan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada negara.
Dengan adanya panduan yang selari dengan NAP, ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh dan boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan, seterusnya memberi kebaikan kepada semua pihak yang berkepentingan.
Ini termasuklah membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan.
Menerusi visi ‘Next Generation Vehicle (NxGV)’ yang digariskan di dalam NAP, rakyat Malaysia berpeluang menikmati nilai dan inovasi yang lebih hebat dalam aspek mobiliti yang mana ia boleh mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat di negara ini.
Antara manfaatnya termasuklah tawaran perkhidmatan lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan oleh pemain industri, perkhidmatan mobiliti tambahan seperti aspek keselamatan yang dipertingkat serta integrasi mudah alih yang berasaskan teknologi Internet.
Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada yang digariskan oleh MITI berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif. Pujian harus diberikan kepada MITI di atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak.

































