Seramai 43 pelatih telah menerima sijil tamat latihan pada Majlis Penutup Oil & Gas Wakalah TVET Programme (OGWTP) Kumpulan 3/2025 yang berlangsung di kampus Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Batu Rakit., Terengganu.
Majlis meraikan kejayaan para pelatih yang telah menamatkan empat bulan latihan di INSTEP, diikuti dua bulan penempatan industri bersama syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Terengganu yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Ts. Azhar Ahmad berkata, usaha memperkukuh kemahiran teknikal dan meningkatkan kebolehpasaran pelatih tempatan terus menjadi keutamaan institusi melalui program ini.
“Program ini mencerminkan sokongan terhadap transformasi sektor tenaga negara, bukan sahaja melalui teknologi dan inovasi, malah dengan membangunkan tenaga kerja mahir yang diperlukan bagi masa depan tenaga bersepadu.
“Dengan kandungan latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan akan datang, kami memastikan para pelatih lulusan INSTEP bukan sahaja memiliki kebolehpasaran hari ini, tetapi juga bersedia menghadapi evolusi sektor tenaga dalam dekad akan datang,” katanya.
Majlis turut disempurnakan dengan penyampaian sijil tamat latihan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman.



































