Muallim International Science, Technology, Mathematic and Sustainability Fiesta 2025 (MIST’25) 2.0 anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berjaya menjadi platform komprehensif dalam memupuk minat, kreativiti dan daya saing pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi, Matematik dan Kemampanan.

Dekan FSM, Prof Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata, penganjuran program yang
berlangsung dari 23 hingga 28 November itu memberi peluang kepada pelajar menonjolkan kepakaran melalui pertandingan, pameran, penganugerahan serta sesi perkongsian ilmu melibatkan pelbagai bidang.

“MIST 2025 2.0 merupakan platform terbaik untuk menonjolkan potensi dan kepakaran
pelajar FSM dalam bidang Sains, Teknologi, Matematik dan kelestarian,” katanya ketika
berucap pada Majlis Perasmian Penutupan program berkenaan di foyer bangunan FSM UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim Perak di sini.

Menurutnya, antara program dianjurkan termasuk Pertandingan Roket Air, SAPOVIDA,
Mission Impossible, Faculty Tour, Luminous Fun Run, Glow Revive, Ceramah Bicara Alam,
Jejak Prestasi serta Majlis Anugerah Dekan dan Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar.

Beliau berkata, program seperti anugerah kecemerlangan dan Jejak Prestasi memainkan
peranan penting dalam mengiktiraf pencapaian pelajar dalam akademik, penyelidikan dan
kokurikulum, manakala aktiviti seperti Faculty Tour, Luminous Fun Run dan Pertandingan
Roket Air meningkatkan kemahiran pelajar melalui aktiviti kompetitif dan berimpak.

“Keseluruhan program bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan pemikiran kritis, malah
mewujudkan platform kolaborasi antara sekolah, industri dan komuniti bagi memperkukuh
pembangunan bakat muda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program MIST’25 2.0, Nur Alyana Maisara Norsharol Nizam, yang
juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi Semester 5, berkata fiesta tersebut
berperanan menggabungkan elemen sains, teknologi, inovasi dan matematik melalui
penganjuran program yang bersifat holistik.

“MIST’25 2.0 memperkasa potensi peserta dalam bidang STEM melalui pendedahan kepada pengalaman dan ilmu dunia sebenar.

Menurut Alyana, penganjuran Anugerah Dekan dan Anugerah Keterampilan Pelajar pada
edisi kali ini memberi nilai tambah dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam
akademik dan kokurikulum.

“Saya berharap semua peserta memanfaatkan peluang sepanjang program, menyertai setiap aktiviti dengan semangat dan keterbukaan. Ilmu dan pengalaman hari ini akan memberi kesan besar terhadap masa depan mereka,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini