Dalam era perbankan digital; aspek kebolehcapaian, pengalaman pengguna yang mudah, keselamatan serta manfaat yang bernilai pastinya menjadi faktor utama bagi pelanggan.
Selaras dengan itu, AEON Bank (M) Berhad — bank digital Islamik pertama di Malaysia terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Zurich Malaysia melalui sayap Takaful keluarga, Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB), dan Takaful am, Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB), dengan mengintegrasikan perlindungan Takaful pada caruman yang berpatutan melalui kemudahan perbankan digital.
Ini merupakan kesinambungan kerjasama tiga pihak antara Zurich Malaysia dan AEON Bank yang bermula pada Mei 2024.
Usaha ini mencerminkan visi bersama untuk memenuhi permintaan pengguna era moden terhadap keselamatan dan kemudahan, dengan matlamat untuk menawarkan perlindungan Takaful patuh Syariah pada caruman yang berpatutan dan mudah diakses secara digital melalui aplikasi AEON Bank.

Perlindungan Takaful di Hujung Jari
AEON Bank dan Zurich Takaful bekerjasama untuk menawarkan nilai dan manfaat terbaik melalui dua produk utama – ‘Personal Accident Takaful’ dan ‘Term Takaful’, kedua-duanya kini boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi AEON Bank mulai 29 Oktober 2025.
Kedua-dua pelan ini menawarkan perlindungan yang inklusif pada caruman yang berpatutan, direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful untuk diri dan keluarga, selaras dengan gaya hidup individu, iaitu serendah RM5 sebulan bagi pelan ‘Personal Accident Takaful’ dan RM18 sebulan bagi pelan ‘Term Takaful’.




































