NetApp Malaysia Sdn Bhd (NetApp) memperkukuhkan kerjasama dengan rakan teknologi tempatan bagi membantu organisasi mempercepat transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) selaras dengan visi kerajaan AI Nation 2030.
Menerusi program Partner Sphere, NetApp telah meningkatkan jumlah rakan niaga bertauliah di Malaysia dan seluruh rantau Asia Pasifik (APAC) untuk menawarkan penyelesaian AI syarikat itu — meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
“Program ini direka bentuk untuk memperkukuh keupayaan rakan kongsi serta membuka aliran hasil baharu dalam bidang seperti AI, transformasi awan, daya ketahanan siber dan pemodenan infrastruktur data — antara keutamaan utama dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.
“Agenda AI Nation 2030 Malaysia merupakan peluang bersama untuk membina hab serantau yang dipercayai bagi inovasi digital berteraskan tadbir urus data,” kata Naib Presiden Kawasan dan Pengurus Besar NetApp (ASEAN, China Raya dan Korea Selatan) Henry Kho, dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bersama rakan kongsi syarikat membantu organisasi di Malaysia memacu aspirasi AI mereka melalui platform data pintar yang mengintegrasikan storan dan keselamatan dengan lancar.

“Dengan menggabungkan teknologi bertaraf dunia dan kepakaran tempatan, kami berdiri seiring dengan Malaysia dalam perjalanan menjadi negara bersedia AI yang dipacu data, di mana teknologi memperkasa rakyat dan memperkukuh industri,” katanya.
Program Partner Sphere memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal dan perkhidmatan dalam kalangan rakan kongsi. Ia menawarkan 16 bidang penyelesaian merangkumi AI, awan dan pemodenan data, selain menyediakan akses kepada peralatan demo, laluan pensijilan serta peluang penjenamaan bersama.
Inisiatif ini membantu rakan kongsi mempersembahkan dan membangunkan penyelesaian tersuai bagi organisasi yang berdepan persekitaran data yang semakin kompleks.
Sementara itu, Pengarah Kanan Jualan dan Pakatan Saluran NetApp APAC, Ganesan Arumugam berkata, program itu menyokong rakan kongsi dalam membina infrastruktur data yang moden dan berdaya tahan.
“Rakan kongsi kami memberi maklum balas terhadap permintaan pasaran untuk infrastruktur moden dengan ketahanan terbina yang mengguna pendekatan bersatu bagi storan data,” katanya.
Di Malaysia, NetApp bekerjasama dengan syarikat seperti CTC Global Sdn Bhd untuk menyampaikan infrastruktur storan dan AI berprestasi tinggi kepada sektor seperti pembuatan, yang kini pesat melaksanakan automasi dan operasi berasaskan data.
“Daripada ibu pejabat hingga ke barisan pengeluaran, AI sedang mengubah setiap peringkat kitaran pembuatan. Melalui program rakan kongsi NetApp, pasukan kami kini lebih bersedia membantu pengeluar di Malaysia mengurus beban kerja yang tinggi, sekali gus meningkatkan produktiviti dan keuntungan,” kata Pengarah Sistem CTC Global, Kevin Chong Sin Woo.


































