Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di dua kawasan terjejas di Pantai Remis dan Beruas, Perak.

Misi bantuan itu melibatkan agihan barangan makanan kering di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Agama Rakyat Pantai Remis yang menempatkan 39 keluarga dengan 123 mangsa, serta Sekolah Kebangsaan Beruas yang menempatkan 60 keluarga dengan 137 mangsa.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama MASKUM dan pasukan UPSI ResQ Team yang turut turun padang menyalurkan bantuan serta memberi sokongan moral kepada mangsa banjir.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penglibatan warga universiti dalam misi kemanusiaan itu mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial institusi pendidikan terhadap masyarakat yang terkesan akibat bencana.

“UPSI sentiasa komited dalam menanam semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan staf universiti.

“Melalui program sebegini, kami bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa banjir, tetapi juga mendidik mahasiswa agar sentiasa peka terhadap isu kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga seiring dengan hasrat KPT untuk melahirkan graduan holistik dan berjiwa empati melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukarelawan serta khidmat komuniti.

Md Amin ketika menyampaikan ucapan sempena misi bantuan banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Beruas, Perak.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Dr. Azhar Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah merangkap Pengerusi MASKUM, Prof Madya Dr. Raman Noordin; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI merangkap Pengerusi Jawatankuasa TNC HEP Universiti Awam Malaysia, Prof Dr. Norkhalid Salimin.

Misi kemanusiaan itu memperlihatkan komitmen UPSI dan MASKUM dalam memperkukuh semangat kesukarelawanan serta mempererat hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini