Dalam era digital masa kini, semakin ramai peniaga menyedari kepentingan untuk beralih ke platform dalam talian, tetapi kurang arif dari segi pengetahuan untuk melaksanakannya secara berkesan.

Menyedari hakikat ini, MR International Group Sdn Bhd (MRG) dan Gimmall (M) Sdn Bhd yang lebih dikenali sebagai GIMmedia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan Akademi TikTok Live dan Konsultasi (MG Academy) pertama di Malaysia khusus untuk peruncit tempatan.

Usaha sama ini menyatukan kepakaran MRG, Akademi Peruncitan No.1 di Malaysia, dan GIMmedia, agensi TikTok Shop MCN (Multi-Channel Network) No.1 di negara ini untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan kemahiran terkini dalam bidang perdagangan secara langsung (real-time commerce). Di samping itu, ia turut membantu mereka menghubungkan pelanggan daripada platform digital ke kedai fizikal secara menyeluruh.

Melalui kerjasama ini, MR Group dan GIMmedia akan bersama-sama menerajui aspek penjenamaan dan pemasaran MG Academy. GIMmedia akan menyumbang tenaga pengajar profesional, perunding serta modul latihan, manakala MRG akan bertanggungjawab ke atas operasi akademi, pengurusan konsultasi serta pelaksanaan acara.

Marcus Chew, Pengarah MR Group, dan Mike Seah, Pengarah GIMmedia Sdn Bhd, bertukar dokumen bagi menandakan kerjasama baharu untuk memperkukuh latihan peruncit dan pemerkasaan kandungan di Malaysia.

Langkah seterusnya, semua program latihan TikTok yang dikendalikan GIMmedia akan diselaraskan sepenuhnya oleh MG Academy. Ini bagi memastikan penyelarasan profesional, penyampaian yang teratur, dan pelaksanaan acara di seluruh Malaysia.

Pengarah MR International Group, Marcus Chew berkata, platform khusus ini akan memberi tumpuan kepada hasil dunia sebenar yang dapat meningkatkan jualan dan keterlihatan jenama para peruncit di Malaysia secara langsung.

“Perdagangan masa nyata (real-time) bukan lagi satu pilihan, malah ia kini menjadi tempat di mana perhatian pelanggan bertukar menjadi jualan. Dengan menggabungkan kekuatan jenama kami bersama kepakaran penstriman langsung GIMmedia, kami menyediakan satu laluan jelas dan praktikal untuk para peniaga meraih hasil yang boleh diukur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah GIMmedia Mike Seah, berkata, “Misi kami sejak awal adalah untuk menjadikan pencipta kandungan dan usahawan berjaya melalui penstriman langsung. Usaha sama ini membolehkan kami meluaskan impak tersebut kepada ribuan PKS, dengan membekalkan mereka alat, pemikiran dan strategi yang tepat untuk berjaya dalam ekonomi digital.

Untuk rekod, GIMmedia telah diiktiraf sebagai TikTok Shop MCN No.1 di Malaysia selama 18 bulan berturut-turut sejak 2022, berdasarkan senarai pengiktirafan bulanan yang dikeluarkan oleh TikTok Shop Malaysia.

Manakala, MRG telah menganjurkan bengkel untuk ribuan pemilik perniagaan di seluruh Malaysia melalui program yang memfokuskan kepada peningkatan jualan, keuntungan dan kecekapan pengurusan.

Cabang latihannya, MR Academy, turut diiktiraf oleh Rekod ASEAN atas pencapaian jumlah pendaftaran berbayar tertinggi oleh pemilik perniagaan PKS dalam kursus transformasi peruncitan berbahasa Mandarin; dengan 4,002 penyertaan merangkumi 60 program dari tahun 2022 hingga 2025.

Kerjasama ini dilihat sebagai respons terhadap permintaan yang semakin meningkat daripada kalangan PKS tempatan yang memerlukan sesi latihan praktikal dan berstruktur dalam bidang perdagangan langsung. Dengan ramai peniaga tradisional yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan platform digital, MG Academy berperanan menyediakan modul latihan langkah demi langkah yang bersifat kemahiran dan mudah diikuti.

Dengan menggabungkan sumber serta kepakaran masing-masing, kedua-dua syarikat ini berhasrat membantu PKS membina model perniagaan hibrid yang mampu menggabungkan operasi fizikal dan dalam talian.

Para peruncit yang berminat untuk menyertai Kumpulan Latihan & Konsultasi TikTok Live yang akan datang boleh mendaftar bersama pasukan MG Academy untuk mendapatkan kalendar program serta maklumat pendaftaran lanjut.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini