Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus komited memperkasa komuniti melalui penganjuran Pertandingan Akhir Mahir Masak Peringkat Kebangsaan “Cooking Star” bagi pengambilan pertama (2024/2025) yang berlangsung di IPTSkills TVET College, Mutiara Damansara hari ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada program Perkhidmatan Pintar NADI di bawah teras Pembelajaran Sepanjang Hayat, yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang kemahiran dan membuka peluang peningkatan sosioekonomi kepada ahli NADI di seluruh negara.

Sebanyak 201 permohonan diterima, dan selepas beberapa peringkat saringan di peringkat negeri, 10 finalis terbaik telah dipilih untuk berentap di peringkat akhir kebangsaan.

Majlis penyampaian hadiah dan penghargaan yang diadakan di Royale Chulan Damansara pada sesi petang turut meraikan peserta Mahir Masak Ahmad Salimie, pemenang Pingat Gangsa (Bronze Medal) dalam Culinary World Cup yang berlangsung di Ipoh, Perak; Alumni Mahir Foto, yang menjuarai Malaysia Unity Short Film Festival; serta Alumni Mahir Pertanian Pintar, iaitu Jeffree Sharizal Abd Aziz dan Lee Xian Yu dari Pulau Tioman, serta Azizah Mohd Isa dari Kedah, yang berjaya memperkasa perusahaan tani masing-masing melalui penggunaan teknologi digital dan peranti IoT.

Dalam majlis yang sama, NADI Mahir turut memperkenalkan dua projek baharu di bawah jenama LOCCA dan RASSAR, masing-masing bagi penghasilan Uniform Sekolah Perempuan dan Biskut Cookies.

Melalui inisiatif ini, alumni program Mahir Jahit dan Mahir Masak dari seluruh negara diberi peluang menjana pendapatan dengan bekerja di Bengkel NADI Jahit dan Bengkel NADI Masak yang dikendalikan di bawah program tersebut.

Projek ini menjadi titik permulaan kepada pembangunan industri desa berasaskan kemahiran tempatan, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar. Inisiatif ini turut membuktikan keberkesanan program Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam membuka peluang baharu, memperkasa masyarakat, dan meningkatkan taraf hidup rakyat di peringkat akar umbi.

Turut hadir Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr. Mohd Arif Adenan; Pengerusi Kumpulan Syarikat MSD Alliance, Tan Sri Halim Shafie; Mohd Fuad Romeli; Datuk Wan Roslee Wan Yusof;  Amrul Halim Gan Abdullah; wakil DUSP yang terdiri dari TM Tech, Maxis, CelcomDigi dan RedTone, wakil-wakil Technology Partners (TP), rakan strategik dan kolaborasi, pakar industri serta Alumni Mahir dari seluruh negara.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini