XOX memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MOF), sempena majlis pembukaan CYBERDSA 2025 di Kuala Lumpur.
Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi Aerosea Exhibitions; Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Lembaga Pengarah, Cybersecurity Malaysia; serta Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia.
Sebagai antara syarikat telekomunikasi terawal yang memeterai kerjasama ini, XOX mengambil langkah berani untuk memperkasa penggunaan MyDigital ID melalui program unggulnya, MySiswa.
Inisiatif ini akan mengintegrasikan identiti digital yang selamat dalam ekosistem pendidikan tinggi, sekali gus memperkasa pelajar, mengukuhkan keterlibatan kampus, dan mempercepatkan agenda transformasi digital negara.
Menerusi kerjasama ini, XOX akan menggerakkan rangkaian belia di seluruh negara bagi mempercepatkan penerimaan MyDigital ID, di samping memperkenalkan aplikasi dunia sebenar di universiti dan institusi pengajian tinggi.
XOX juga akan menerajui pelaksanaan kempen bersama, siri jelajah, serta aktiviti kampus bagi meletakkan MyDigital ID sebagai pemangkin utama ekonomi digital negara yang diyakini.
Pengarah Urusan XOX, Datuk Kenneth Vun, berkata: “Kerjasama ini menandakan babak baharu yang penting bagi XOX. Dengan mendorong penerimaan MyDigital ID melalui MySiswa, kami membekalkan pelajar dengan identiti digital yang selamat, membuka ruang kepada keyakinan, keselamatan dan peluang. Ini bukan sekadar teknologi, tetapi asas untuk membina generasi digital Malaysia.”
Beliau menambah: “Dunia siber hari ini penuh dengan peluang namun turut sarat dengan risiko. Walaupun AI dan platform digital menjadi pemacu kemajuan, ia juga sering disalahgunakan oleh penjenayah. Cabaran dunia siber tidak harus ditangani dengan ketakutan, tetapi dengan keyakinan.
MyDigital ID memberikan keyakinan itu, dengan melindungi privasi, memastikan keselamatan dan membuka peluang baharu bagi mereka yang menggunakannya secara bertanggungjawab. XOX komited memaksimumkan penggunaan MyDigital ID.
Inilah misi kami untuk membina ekosistem digital yang diyakini, inklusif dan berpandangan jauh untuk Malaysia.”
Pemeterian MoU ini mencerminkan aspirasi bersama antara XOX dan MyDigital ID untuk
mempercepatkan transformasi digital, memperkasa golongan belia, serta meletakkan
Malaysia sebagai peneraju yang diyakini dalam era digital.