HONOR terus membuktikan kedudukannya sebagai jenama yang memahami keperluan pengguna apabila memperkenalkan peranti paling laris di pasaran dalam siri X menerusi peranti terbaharunya, HONOR X9d 5G.

Apa yang menarik ialah peranti kelas pertengahan premium kali ini  mengutamakan ketahanan, bateri besar dan pengalaman penggunaan harian yang praktikal.

Sejak kemunculan HONOR X9b, siri X ini berjaya mengekalkan status sebagai telefon pintar kelas pertengahan paling laris di Malaysia selama dua tahun berturut-turut, satu pencapaian yang bukan mudah untuk dicapai dalam pasaran yang sengit.

Populariti ini hadir daripada gabungan antara kualiti binaan yang terjamin, ciri ketahanan yang dipercayai, dan harga yang berdaya saing. Peranti terbaharu ini bukan sahaja meneruskan legasi tersebut, tetapi menaikkan lagi standard ketahanan yang sebelum ini jarang ditawarkan oleh pengeluar lain dalam kategori harga ini.

Reka Bentuk Lasak- IP69K

Perkara pertama yang menarik perhatian ialah tahap ketahanan yang ditawarkan. HONOR X9d 5G merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menerima SGS Triple Resistant Premium Performance Certification, memastikan perlindungan menyeluruh terhadap hentakan, air dan habuk.

Peranti ini menggunakan rangka penyerap hentakan enam lapisan diinspirasikan daripada perisai kalis peluru, dipadankan dengan kaca ultra-tempa Corning Gorilla Glass Victus 2 yang mempunyai kedalaman kaca yang ditempa 31 peratus lebih dalam berbanding generasi sebelumnya.

HONOR turut memperkenalkan Ultra-Bounce Anti-Drop Technology 3.0 yang meningkatkan rintangan impak sehingga 112% berbanding X9c. Ini membolehkan telefon menahan jatuhan sehingga 2.5 meter di atas permukaan batu seperti jalan tar, batu cobblestone, atau permukaan kasar lain.

Tambahan pula, X9d kini hadir dengan reka bentuk skrin rata yang lebih tahan berbanding skrin melengkung – satu permintaan popular daripada pengguna sejak model X9b.

Kesemua ciri lasak ini amat sesuai digunakan oleh mereka yang sering terbabit dengan aktiviti luar atau lebih khusus penunggang motosikal e-hailing, penghantar barang atau apa sahaja aktiviti lasak yang memerlukan peranti ini sepanjang masa tidak kira cuaca panas mahupun hujan.

Bukan itu sahaja, X9d 5G adalah telefon pertama dalam segmennya yang menawarkan pensijilan IP69K, di samping IP66 dan IP68. Ia boleh digunakan sehingga kedalaman 6 meter, menahan percikan air bersuhu 85°C, bertahan sehingga 30 hari di dalam air sedalam 1 meter dan melindungi daripada 18 jenis cecair berbeza termasuk air laut dan minuman bergula.

Ciri tambahan yang pertama kali diperkenalkan seperti mod Drainage and Dust Removal membolehkan telefon ini mengeluarkan air dan habuk secara automatik melalui getaran dan audio.

HONOR juga menambah baik pengalaman penggunaan harian dengan ciri seperti AI Heavy Rain Touch dan AI Glove Touch, membolehkan skrin berfungsi walaupun dalam hujan lebat atau ketika pengguna memakai sarung tangan – ciri yang praktikal untuk penunggang motosikal atau pekerja lapangan.

Bateri 8300mAh – Tahan 3 Hari

Salah satu kelebihan terbesar HONOR X9d ialah baterinya. Dengan kapasiti 8,300mAh, ia kini memegang gelaran sebagai telefon pintar dengan bateri paling besar di pasaran. Lebih mengagumkan, HONOR berjaya mengekalkan ketebalan hanya 7.76mm dan berat 193gram, menjadikannya antara telefon pintar paling nipis dalam kategori bateri melebihi 7,000mAh.

Kelebihan ini disebabkan peranti ini menggunakan teknologi bateri silikon karbon Silicon-Carbon dengan kandungan silikon 10 peratus, membolehkan kepadatan tenaga lebih tinggi tanpa menambah saiz bateri secara drastik. 

Dalam ujian dijalankan, HONOR mendakwa peranti ini mampu bertahan sehingga 3 hari penggunaan biasa, 52.5 jam penstriman muzik, 23.8 jam tontonan video atas talian dan 16.8 jam sesi permainan mudah alih.

Bagi yang sering sibuk, telefon ini hadir dengan 66W HONOR SuperCharge yang mampu mengecas bateri dalam masa singkat serta 7.5W reverse charging yang membolehkan telefon bertindak sebagai power bank untuk mengecas peranti lain. Mod Ultra Power Saving juga membolehkan panggilan diteruskan sehingga 60 minit walaupun baki bateri hanya tinggal dua peratus. Hebat bukan!

Paparan OLED 6000nits Dengan Teknologi Eye Comfort

HONOR X9d menampilkan skrin OLED 6.79-inci dengan kadar segar semula 120Hz, resolusi tinggi, dan sokongan DCI-P3 wide color gamut dengan 1.07 bilion warna. Skrin ini menggunakan bahan deuterated OLED baharu yang membolehkan ia mencapai kecerahan puncak sehingga 6000nits, menjadikannya salah satu skrin paling terang di pasaran.

Sama ada anda menonton filem, membaca dokumen atau bermain permainan di luar rumah, paparan ini kekal jelas walaupun di bawah sinaran matahari terik.

HONOR turut mengekalkan teknologi Eye Comfort seperti 3840Hz PWM Dimming, AI Circadian Night Display, dan penapisan cahaya biru pada peringkat perkakasan untuk mengurangkan ketegangan mata ketika penggunaan berpanjangan.

Prestasi Dipacu Snapdragon 6 Gen 4

Selari dengan perkembangan teknologi, HONOR X9d dikuasakan oleh Snapdragon 6 Gen 4 (4nm) yang menawarkan peningkatan sehingga 29 peratus pada prestasi GPU dan 11 peratus pada prestasi CPU berbanding Snapdragon 6 Gen 1 yang digunakan pada X9c. Ini memberikan pengalaman lebih lancar ketika bermain permainan, menyunting gambar, atau pelbagai guna.

Peranti ini hadir dengan RAM sebesar 24GB (12GB fizikal + 12GB Turbo RAM) serta pilihan storan 256GB atau 512GB, mencukupi untuk kegunaan jangka panjang.

Ciri Pintar Kamera AI

HONOR X9d turut menambah baik bahagian audio dengan pembesar suara dwi-bass serta mod Ultra Volume 400 peratus, sesuai untuk pengguna yang kerap berada di luar atau persekitaran bising.

Ciri kamera pula masih menggunakan kamera utama 108MP dengan apertur besar f/1.75, OIS + EIS untuk rakaman stabil, serta teknologi 9-in-1 pixel binning untuk prestasi cahaya rendah yang lebih baik.

Lihat dibawah ini beberapa gambar yang dirakam menggunakan kamera peranti ini sama ada di luar mahupun dalam bangunan. Hasilnya cukup memuaskan hati kerana peranti ini berupaya merakam gambar yang cantik

HONOR turut melengkapkan ciri berasaskan AI seperti AI Eraser, AI Upscale dan AI Face Tune untuk memudahkan suntingan gambar terus dari telefon.

Sistem operasi MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 hadir dengan pelbagai ciri pintar seperti AI Call Translation untuk terjemahan masa nyata semasa panggilan, AI HONOR Notes yang menukar rakaman suara kepada nota automatik dan Magic Portal 2.0 yang memudahkan perkongsian atau carian kandungan dengan pantas.

Perlindungan Premium & Nilai Tambahan

HONOR memberikan pakej perlindungan yang dipanggil Triple Assurance – meliputi perlindungan retakan skrin dan kaca kamera selama 365 hari, waranti kerosakan cecair percuma untuk setahun dan lanjutan waranti setahun tambahan tanpa caj. Ini menjadikan X9d 5G antara telefon pintar paling selamat untuk dimiliki daripada segi penjagaan jangka panjang.

Kesimpulan

HONOR X9d 5G bukan sekadar kemas kini kecil kepada X9c – ia adalah lonjakan ketara dalam aspek ketahanan, kapasiti bateri, paparan dan ciri pintar.

Dengan gabungan bateri terbesar pasaran, paparan OLED paling cerah, pensijilan IP69K, kamera 108MP dan pelbagai ciri AI yang praktikal, ini salah satu telefon pintar kelas pertengahan paling lengkap tahun ini.

Bagi pengguna yang mahukan telefon pintar lasak tetapi kekal bergaya, mampu bertahan lama, dan menawarkan prestasi setaraf premium, HONOR X9d 5G adalah pilihan yang sukar ditandingi.

Harga, Warna dan Ketersediaan

HONOR X9d 5G hadir dalam dua varian, iaitu RAM 24GB (termasuk HONOR Turbo RAM 12GB) + storan 256GB storan pada RM1,499, dan storan 512GB pada RM1,699. Kedua-dua varian ini didatangkan dalam pilihan warna Reddish Brown, Forest Green, Sunrise Gold, dan Midnight Black. Peranti ini boleh didapati di kedai-kedai seluruh negara mulai 10 Oktober 2025 ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini