BMW Motorrad Malaysia mengumumkan penawaran ciri baharu untuk BMW R 1300 GS Serba Baharu dalam varian Triple Black dan GS Trophy, dengan menampilkan sistem suspensi elektronik terkini: Kawalan Ketinggian Adaptif.
Pertama kali dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024, BMW R 1300 GS Serba Baharu telah menetapkan penanda aras dalam aspek prestasi, kawalan dan keselesaan penunggang dalam segmen tunggangan Adventure.
Dalam penambahbaikan terbaharu ini, elemen segar yang memberikan karakter luar biasa kepada motosikal ini digandingkan dengan teras enjin boxer GS yang berkuasa, kini dipertingkatkan melalui kehadiran Kawalan Ketinggian Adaptif baharu sebagai ciri standard pada varian Triple Black dan GS Trophy.
Ciri pintar baharu ini dijangka membawa peningkatan yang signifikan terhadap ergonomik keseluruhan dan fungsi yang berfokuskan penunggang untuk BMW R 1300 GS Serba Baharu.

Ciri Kawalan Ketinggian Adaptif melengkapi kebolehgunaan harian dengan melaras suspensi motosikal secara pintar mengikut pergerakan. Ketika dalam keadaan pegun atau pada kelajuan rendah, sistem ini akan menurunkan ketinggian motosikal untuk menambah baik akses kaki ke permukaan jalan sekali gus memudahkan penunggang.
Apabila kelajuan meningkat, sistem ini akan menaikkan casis secara automatik ke ketinggian tunggangan standard untuk memastikan ergonomik dan kawalan optimum. Peralihan lancar ini menjamin keselesaan, kawalan, dan keselamatan yang lebih tinggi dalam pelbagai keadaan tunggangan, tanpa menjejaskan prestasi.
Dengan penawaran terbaharu ini, BMW R 1300 GS Serba Baharu terus mendahului dalam aspek prestasi, kawalan, serta keupayaan kembara dalam segmennya.
Harga jualan (di atas jalan, termasuk Program Jaminan Tiga Tahun dan Bantuan Tepi Jalan Tiga Tahun BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi BMW R 1300 GS Serba Baharu adalah: RM140,500.






































