Filem bertemakan bencana Legasi-Bomba The Movie, hasil kerjasama antara Multimedia, GSC, Astro dan Sixfun, kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh malaysia.
Yang menariknya, Legasi-Bomba The Movie merupakan projek filem yang dicetuskan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah, Sultan Pahang, selepas baginda menonton filem Air Force – The Movie pada tahun 2022 yang turut diterbitkan oleh Multimedia. Baginda kemudian telah mencadangkan idea tersebut kepada Pengarah Urusan Multimedia, Datuk Steven Lim.
Selepas tiga tahun, pada 21 Ogos (Khamis), baginda berkenan hadir sekali lagi ke pawagam yang sama untuk menyaksikan Legasi-Bomba The Movie, sebuah karya yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Baginda menzahirkan rasa amat berpuas hati terhadap hasil akhir filem tersebut.
Seusai menonton, KDYMM Sultan Abdullah menekankan bahawa filem ini berjaya menggambarkan realiti tugas anggota bomba yang sentiasa berada di barisan hadapan – sama ada ketika kebakaran, bencana alam, kemalangan jalan raya, malah juga dalam operasi menangkap ular dan menyelamatkan haiwan.
Sebelum berangkat, KDYMM Seri Paduka Baginda Sultan Abdullah telah menyampaikan pengiktirafan dan pujian kepada Datuk Steven Lim , para pelakon serta keseluruhan mutu persembahan filem tersebut, dan turut menitipkan doa serta restu Baginda kepada filem ini.
Selain itu, Datuk Setven Lim juga memaklumkan kepada Baginda Sultan bahawa filem ini mengambil masa lebih daripada dua tahun untuk disiapkan. Sepanjang proses penggambaran, bahagian yang paling memakan masa adalah pasca produksi dan kesan khas kerana pasukan produksi ingin memastikan kualiti filem serta hasil persembahannya yang terbaik kepada para penonton.
“Bagi menjayakan penggambaran ini, produksi telah menjalani rakaman di Sabah, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Terengganu sejak tahun 2023. Para pelakon turut dihantar ke Terengganu untuk mengikuti latihan bersama anggota bomba sebenar, bagi memastikan lakonan mereka lebih realistik. Dari set, aksi hinggalah kepada kesan khas, segalanya diteliti bagi menonjolkan semangat keberanian dan pengorbanan anggota bomba Malaysia.”
Proses pembikinan turut menerima sokongan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta tajaan daripada HONOR, Cuckoo dan Kinohimitsu.
Filem ini menggabungkan kesan khas kebakaran yang mendebarkan, adegan penyelamatan yang dramatik serta emosi kemanusiaan yang menyentuh hati, sekali gus menjanjikan pengalaman sinematik luar biasa kepada penonton.
Dengan itu, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke pawagam, merasai sendiri kehebatan filem ini, serta memberikan sokongan padu terhadap karya tempatan.




































