Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional,
melancarkan koleksi setem Bunga Mawar Siri 3 selepas keluaran terdahulu pada tahun 2003 dan 2014.
Siri baharu ini menampilkan lima jenis setem yang memaparkan varieti bunga mawar yang
ditanam di Malaysia: ‘France Red’ dan ‘Awake’ (RM1.00 setiap satu, se-tenant), ‘Catalina’ dan ‘Maria Shriver’ (90 sen setiap satu, se-tenant), serta ‘Double Delight’ (RM5.00) yang dipaparkan pada Lembaran Mini.
Menariknya, semua setem, termasuk Lembaran Mini ini, beraroma harum bunga mawar yang lembut.
Koleksi penuh Bunga Mawar Siri 3, yang berharga RM58.80, merangkumi dua helai setem se-tenant, satu Lembaran Mini, Sampul Hari Pertama (dengan setem dan Lembaran Mini masing-masing dengan pembatalan khas), dan folder koleksi.
Koleksi setem Bunga Mawar Siri 3 ini akan mula dijual pada 30 Julai 2025 di 90 Biro Filateli, termasuk 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara, dan juga secara dalam talian di
shop.pos.com.my.
Sempena pelancaran ini, Pos Malaysia mengadakan beberapa promosi menarik. Selama
sebulan, 20 Pejabat Pos terpilih akan menyambut pelanggan yang hadir dengan haruman lembut bunga mawar melalui penyebar aroma di premis.
Selain itu, terdapat juga pemberian poskad percuma di 90 Biro Filateli. Bagi setiap pembelian produk Bunga Mawar Siri 3 sebanyak RM30, pelanggan akan menerima satu poskad bertemakan bunga secara percuma, selagi stok masih ada.
Poskad tersebut, yang hadir dalam tiga rekaan eksklusif, juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM2.50 setiap satu. Selain pemberian poskad, pelanggan juga akan menerima kod promo diskaun RM20 untuk pembelian di laman web BloomThis (bloomthis.co) dengan perbelanjaan minimum RM180.
Pos Malaysia turut bekerjasama dengan penjual bunga premium dalam talian, BloomThis, dan akan memberikan bunga ros percuma terhad kepada pelanggan di beberapa Pejabat Pos terpilih selama tiga hari pertama pelancaran iaitu di Pejabat Pos Besar (GPO) Kuala Lumpur, Kaunter Setem & Filateli (juga di GPO Kuala Lumpur, Aras 1), GPO Johor Bahru (30 Julai, 1 dan 2 Ogos), GPO Pulau Pinang (KOMTAR), Pejabat Pos Bukit Mertajam dan Pejabat Pos Batu Pahat (30 Julai, 3 dan 4 Ogos).
Sementara itu, pelanggan di Pejabat Pos Kelana Jaya akan menerima bunga istimewa daripada 2KM Florist serta sekeping poskad. Kedua-dua promosi ini akan berlangsung selagi stok masih ada.
Di Pos Malaysia, kami bersemangat dengan membina kepercayaan untuk menghubungkan
kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang. Koleksi Bunga Mawar Siri 3 ini melambangkan komitmen ini dengan menyatukan komuniti melalui penghargaan bersama warisan semula jadi Malaysia sambil memajukan inovasi filateli.


































