Etiqa, cabang insurans dan takaful terkemuka di rantau ASEAN di bawah Kumpulan Maybank, baru-baru ini telah melancarkan satu penyelesaian takaful berasaskan pelaburan patuh Syariah yang pertama seumpamanya, eksklusif untuk pelanggan Maybank.
Disokong oleh permintaan tinggi dan komitmen Kumpulan Maybank terhadap penyelesaian Pengurusan Kekayaan patuh Syariah, Pelan Takaful Dynamic Horizon dijangka mencatatkan jualan melebihi RM30 juta dalam tempoh 12 bulan pertama.
Dynamic Horizon dirangka khusus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian perlindungan dan kekayaan berasaskan nilai, merentasi segmen pelanggan Muslim dan bukan Muslim.
Bagi pelanggan Muslim, ia menawarkan satu peluang yang unik dan bermakna dengan menggabungkan manfaat takaful dengan ciri hibah, membolehkan perancangan
pewarisan harta yang berhemah selari dengan kehendak faraid.
Bagi pelanggan bukan Muslim, pelan ini menawarkan kejelasan, kesinambungan, dan kawalan seperti yang diharapkan dalam penyelesaian perlindungan holistik.
Sejak dilancarkan, produk ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan pelanggan Pengurusan Kekayaan patuh Syariah (IWM) Maybank Islamic yang ingin menyelaraskan perancangan kewangan mereka dengan nilai
dan hasrat pewarisan untuk generasi akan datang, mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda daripada sasaran jualan bulanan.
“Di Etiqa, kami percaya bahawa pemerkasaan kewangan bermula dengan akses, kepercayaan dan inovasi. Dynamic Horizon mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan penyelesaian patuh Syariah yang bukan sahaja melindungi keluarga, tetapi juga membantu mereka membina kekayaan secara bertanggungjawab.
“Dengan memperkasa pelanggan untuk merancang masa depan dengan yakin dan meninggalkan legasi bermakna, Dynamic Horizon selari dengan tujuan korporat kami, iaitu ‘Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik’,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim.