Peranti Samsung tidak pernah mengecewakan daripada sebuah telefon pintar hingga ke peranti bersaiz skrin besar seperti tablet. Ini dapat dibuktikan menerusi pengenalan tablet terbaharu Galaxy Tab S10 FE+ dan Tab S10 FE.
Kedua-dua model ini menyasarkan pengguna yang mahukan gabungan kerja dan hiburan dalam satu peranti, tanpa perlu berbelanja seperti membeli tablet kelas premium.
Walaupun berada dalam kelas pertengahan, Galaxy Tab S10 FE+ menawarkan pengalaman hampir setanding dengan siri Tab S9 — lengkap dengan rekaan premium, sokongan S Pen, ciri AI, dan ekosistem Galaxy yang mantap.
Rekaan Menarik
Galaxy Tab S10 FE+ hadir dengan rekaan yang minimalis dan kemas, menggunakan binaan logam sepenuhnya yang terasa premium di tangan. Profilnya cukup nipis (6.0mm) dan ringan (664g), menjadikannya selesa untuk dibawa ke mana-mana.
Sisi peranti hadir dengan rekaan rata, bucu sedikit membulat, dan bezel serta port yang teratur. S Pen boleh dilekatkan secara magnetik di sisi atau belakang, memudahkan simpanan ketika tidak digunakan.
Paparan – Skrin Besar Untuk Kerja & Hiburan
Tablet ini menggunakan skrin bersaiz 13.1 inci LCD WQXGA+ (2880 x 1800) dengan kadar segar semula 90Hz. Walaupun tidak menggunakan panel AMOLED, kualitinya masih baik dengan paparan yang tajam dan terang.
Skrin besar ini sangat sesuai untuk multi-tasking, menonton video, atau melakar idea menggunakan S Pen. Tambahan pula, sistem pembesar suara stereo dolby atmos memberikan pengalaman audio yang imersif.
Prestasi – Cip Exynos
Peranti ini dikuasakan oleh cip Exynos 1580 (5nm), cip yang digunakan dalam beberapa model Galaxy A tahun ini. Prestasinya cukup memadai untuk kegunaan harian, penulisan, suntingan ringan dan hiburan.
Model ini dilengkapi dengan RAM 12GB dan storan 256GB, boleh ditambah melalui kad mikroSD sehingga 2TB. Ia juga beroperasi menggunakan sistem One UI 7 berasaskan Android 15, dengan pelbagai ciri multitasking dan integrasi ekosistem Galaxy.
S Pen Responsif
Salah satu kelebihan utama Tab S10 FE+ ialah S Pen disertakan secara percuma. Ia menyokong ciri-ciri seperti penulisan nota, lukisan, suntingan imej, serta kawalan jauh untuk fungsi tertentu.
Respons pen dan tahap sensitiviti tekanan adalah sangat baik dan untuk kebanyakan pengguna, pengalaman menggunakan pen pintar ini S Pen sangat memuaskan.
Kamera
Tablet ini hadir dengan kamera utama 13MP dan kamera hadapan 12MP ultra lebar. Walaupun bukan peranti khusus untuk fotografi, kamera ini sesuai digunakan untuk panggilan video dengan sudut pandang luas, imbas dokumen atau whiteboard dan menggunakan gambar untuk tujuan kerja atau santai.
Peranti ini juga menghasilkan gambar-gambar menarik pada waktu malam dengan adanya mod malam (Night Mode), potrait, food sebagaimana ciri yang ada pada sebuah telefon pintar cuma saiz skrinny
Meskipun gambar terhasil tidak seperti yang diharapkan, anda sebenarnya boleh memindahkan gambar yang dirakam menggunakan telefon pintar ke tablet ini dengan menggunakan ciri Quick Share.
Bagaimanapun, Prebiu.com berjaya merakam gambar menarik pada waktu malam menggunakan peranti ini. Lihat hasil dibawah ini.
Ciri Auto Framing pada kamera hadapan juga memastikan wajah sentiasa dalam bingkai semasa panggilan video.
Ciri Pintar AI
Samsung turut menyertakan sokongan kecerdasan buatan (AI) yang memberi nilai tambah kepada pengalaman pengguna:
- Circle to Search – bulatkan imej/teks dan cari maklumat terus di web
- Solve Math – kira soalan matematik terus dalam Samsung Notes
- Object Eraser – padam objek dalam gambar dengan mudah
- Note Summary – ringkasan automatik nota tulisan tangan
- Auto Framing & Voice Enhancement untuk panggilan video
Tahan Lasak
Tablet ini disertakan dengan penarafan IP68 (kalis air dan debu), jarang ditawarkan dalam tablet pertengahan. Ia juga menyokong 5G (model tertentu), Wi-Fi 6, dan Bluetooth 5.3.
Bateri sebesar 10,090mAh memberikan ketahanan seharian dengan sokongan pengecasan pantas 45W (kepala pengecas dijual berasingan). Dalam ujian, tablet ini mampu bertahan lebih 12 jam penstriman video pada kecerahan sederhana.
Aksesori – Papan Kekunci IFIT Dan S Pen Disediakan
Galaxy Tab S10 FE+ boleh digunakan dengan papan kekunci IFIT (pilihan) yang mempunyai pad sesentuh terbina menjadikan tablet ini sesuai digunakan seperti laptop ringan.
Samsung juga menyertakan beberapa aplikasi kreatif terbina seperti LumaFusion, Sketchbook, Goodnotes, dan Clip Studio Paint – menjadikan tablet ini sesuai untuk pelajar dan kreator kandungan.
Peranti ini lebih mudah apabila menggunakan papan kekunci yang dibina khas untuk tablet ini. Setiap aplikasi disambungkan dengan mudah dan bertindak responsif seakan fungsi sebuah komputer riba.
Peranti ini dijual pada harga RM2,799 di Malaysia, dan hadir dalam tiga warna Gray, Silver dan Blue.
Untuk apa yang ditawarkan daripada segi rekaan, skrin, sokongan stylus, kepada fungsi AI harga ini dianggap berbaloi dan kompetitif.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Tab S10 FE+ membuktikan bahawa tablet dalam kelas pertengahan tidak semestinya biasa-biasa. Ia menawarkan rekaan premium, sokongan S Pen, ketahanan IP68, dan integrasi AI yang menjadikannya serba boleh untuk pelbagai kegunaan.
Sama ada anda pelajar, pekerja profesional, pencatat nota tegar, atau pengguna kasual – tablet ini boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya hidup digital masa kini.
Walaupun terdapat kompromi daripada segi panel LCD dan cip kelas pertengahan, pengalaman penggunaan kekal lancar dan memuaskan.
Tablet ini adalah pilihan ideal bagi mereka yang sedang mencari tablet Android berskrin besar, serba boleh dan tidak terlalu mahal. Pendek kata – tablet yang ringkas, padat ciri terkini AI.
Spesifikasi Samsung Galaxy Tab S10 FE+:
- Paparan : 13.1” LCD (1800 x 2880), 90 Hz
- Pemproses: Exynos 1580
- OS: Samsung One UI 7.0 + Android 15
- Saiz: 300.6 x 194.7 x 6mm
- Berat: 664 gram
- Tebal: 6.0 mm
- Memori: 12GB
- Storan: 256GB
- Bateri: 10,090mAh Fast Charging 45W
- CPU: Octa-core (1×2.9 GHz Cortex-A720 dan 3×2.6 GHz Cortex-A720)
- Kamera belakang: 13MP (f/2.0) – Lebar
- Kamera depan: 12MP (f/2.4) – Ultra Lebar
- Ciri Menarik: Pengimbas cap jari, pengecaman muka, sistem bunyi Dolby Atmos, IP68
- Warna: Gray, Silver dan Blue
- Harga: RM2,799
#GalaxyTabS10FE+
#GalaxyTabS10FE