Lebih 100,000 peserta dijangka memanfaatkan Kempen Internet Selamat (KIS) Wilayah Utara bagi memperkukuhkan keselamatan dalam talian dan membina komuniti digital berdaya tahan pada 19 Mei 2025 lalu.
Menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), inisiatif tersebut merupakan langkah berterusan dilaksana bagi memperkasakan literasi digital terutamanya dalam menangani cabaran seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber, dan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Kumpulan peserta yang dijangka terlibat dan memanfaatkan adalah merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sepanjang tahun ini.

Pelancaran program itu di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Langkawi, Kedah dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan turut dihadiri lebih 1,800 peserta termasuk pelajar dari 22 sekolah, guru, ibu bapa, pemimpin komuniti, serta wakil pelbagai agensi berkepentingan.
Antara aktiviti dianjurkan termasuk sesi taklimat dan aktiviti interaktif Modul Keselamatan Internet khusus untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, perkongsian Modul Keselamatan Internet untuk guru dan ibu bapa, serta pertandingan Choral Speaking dan Menu Viral bertemakan Keselamatan Internet.
Dalam program itu, SKMM melahirkan harapan kempen tersebut adalah satu komitmen dalam membangun masyarakat digital yang selamat dan berpengetahuan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohd Kamil Hashim dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Rizal Mohd Yusof.



































