Kerja-kerja kesukarelawan di peringkat antarabangsa bukanlah mudah dan amat mencabar kerana kerja NGO Antarabangsa memerlukan disiplin yang tinggi, ketahanan mental dan fizikal.
Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung UMT, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, tugas luar negara memerlukan kita memahami adat resam budaya serta menghormati undang-undang negara berkenaan.
“NGO juga berhadapan dengan cuaca, cara kehidupan yang berbeza di luar negara dan semua itu memerlukan perhatian yang serius sebelum kita membuat kerja-kerja kebajikan atau kemanusiaan rentas sempadan.

“Kerja kebajikan di dalam negara lebih mudah kerana banyak kemudahan kenderaan dan akses perhubungan telefon, internet serta bantuan yang diperolehi seperti bantuan keperluan asas dan kewangan,” katanya dalam Wawancara Podcast Terengganu fm di RTM Terengganu yang dihoskan oleh DJ Sidi Isa, di Terengganu, di sini hari ini.
Idea program ini diilhamkan oleh Pengarah Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor selain Ketua Bahagian Berita RTM Terengganu, Murni Ali turut terlibat dalam program ini.
Beliau berkata, cabaran NGO di luar amat hebat sekali kerana ianya menguji kesabaran, ketahanan mental dan fizikal.
Mustapha juga menyentuh keprihatinan rakyat Malaysia membantu masyarakat antarabangsa yang dilanda musibah seperti bencana di Myanmar dan Thailand baru-baru ini keprihatinan kerajaan Malaysia dalam isu dan bencana amat disegani oleh negara luar.
“Begitu juga peranan NGO negara kita begitu cepat bertindak dalam isu-isu kemanusiaan rentas sempadan,” katanya lagi.


































