Perjalanan yang jauh dalam keadaan cuaca panas terik dan berdebu dengan jalan raya yang tidak rata di negara Kemboja menjadi cabaran getir kepada Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican sepanjang bulan Ramadan ini.

Beliau yang tiba lebih awal sebelum Ramadan di negara itu berkata, melakukan kerja-kerja membantu orang susah khususnya masyarakat Islam di pedalaman memang menguji kesabaran sesiapa sahaja.

“Apa yang penting sasaran bantuan yang hendak disampaikan kepada golongan miskin daif dan anak-anak yatim dapat tercapai. Ini juga sebahagian bantuan rakyat Malaysia yang disalurkan kepada NGO Antarabangsa dan penat lelah saya hilang apabila melihat mereka tersenyum puas menerima bantuan yang kami salurkan,” katanya yang merantau ke beberapa kampung sekitar Kemboja.

Katanya, bukan mudah untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan kerana ia memerlukan kesabaran tinggi, hati yang cekal dan tabah dalam melaksanakan setiap usaha yang dirancang.

Selain menyalurkan bantuan makanan, NGO Antarabangsa turut memberi sumbangan untuk majlis berbuka puasa di sebuah masjid utama di Tbuong Khmom, Kemboja dan menyampaikan kain telekong kepada anak-anak yatim dan mualaf di beberapa kampung di seempadan Kemboja-Vietnam.

“Apa yang diharapkan ialah mereka yang menyalurkan bantuan ini dapat terus menyokong usaha NGO Antarabangsa dan semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala di dunia dan di akhirat kepada mereka yang membantu masyarakat Islam di Kemboja,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini